Bergelar ibu bapa sekaligus memberikan kita satu jawatan sebagai pendidik. Jadi, marilah kupas erti sebenar mendidik zuriat.
Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan setiap anak mengikut acuan
masing-masing. Mendidik anak perlu dengan pengetahuan keibu bapaan.
Amalan meniru cara didikan keluarga yang dianggap cemerlang tidak
semestinya sesuai dengan keluarga sendiri.
Didikan paksaan dan arahan bukanlah bukti kejayaan membentuk peribadi
insan yang mulia. Setiap anak berhak menikmati zaman kanak-kanak mereka
secara semulajadi mengikut fitrah yang sepatutnya. Malah Imam Al-Ghazali
pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain.
Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan
mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap
hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri
daripada keadaan sesak itu."
Nyata dan jelas sekali bahawa di usia kanak-kanak mereka tidak
sewajarnya dipaksa melakukan perkara-perkara yang membebankan mereka.
Memaksa mereka belajar sepanjang masa bukan akan membuatkan mereka
bertambah bijak tetapi ditakuti boleh mengganggu tumbesaran normal
mereka kerana terlalu tertekan.Sewajarnya biarlah anak-anak melalui
zaman kanak-kanak mereka dengan belajar sambil bermain, menerokai dunia
mereka dan melakukan apa yang mereka suka asalkan tidak membahayakan
diri sendiri dan orang lain selain memberi faedah kepadanya bahkan ia
tidak melanggar ajaran Islam.
Namun demikian persaingan yang semakin sengit pada masa kini membuatkan
segelintir ibu bapa tidak mahu memahami aspek didikan anak-anak
menjadikan anak sendiri keliru mengenai kehadirannya dalam sebuah
keluarga. Ibu bapa yang gemar mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa
yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap
tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung
mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan
dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.
Seharusnya ibu bapa mempunyai ciri membimbing dan memberi tunjuk ajar
pada anak-anak dan hanya menghukum apabila mereka berbuat silap tetapi
memberi kebebasan apabila perlu. Biarpun ada sesetengah pendapat
mengatakan anak-anak perlu selalu dimarahi kerana jika tidak mereka
tidak belajar. Sebenarnya, memang mereka boleh dimarahi tetapi marah
perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa
marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin membetulkan
kesilapannya. Biarpun ada anak yang kelihatan selamba dan bersahaja
apabila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang
menyimpan dendam pada ibu bapa hingga dewasa.
Kesan buruk
Didikan yang kurang sempurna sudah pasti membawa kesan buruk kepada
anak-anak membabitkan keyakinan diri yang rendah hingga dia akan
ketinggalan dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin. Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta
melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap
kemampuan diri kerana sering diberikan sokongan moral.
Hakikatnya, hukuman fizikal yang hanya menyakitkan tetapi kurang
berkesan perlu dikurangkan dalam mendidik anak-anak. Andai mereka
melakukan kesilapan dan perlu didenda, jelaskan kesilapan yang mereka
lakukan dan kenapa mereka didenda. Sememangnya tujuan hukuman diberikan
adalah untuk pengajaran tetapi setiap hukuman yang dijatuhkan ke atas
anak-anak perlu diberi perhatian iaitu jangan marah mereka ketika kita
berada dalam keadaan marah, jangan mengherdik mereka di hadapan orang
lain atau kawan-kawannya kerana ia akan memalukan anak dan memberi kesan
buruk, jangan juga marahkan mereka kerana dirinya tetapi marahkan
kesalahan yang mereka lakukan. Beritahu anak yang anda tidak suka dan
marah dengan kesalahan yang dia lakukan bukan dirinya.
Sedar atau tidak, kebanyakan ibu bapa berharapkan anak mereka sempurna
dari segala aspek tanpa mengambil kira mereka juga bukan manusia yang
sempurna apatah lagi anak itu dibentuk oleh didikan ibu bapa. Maka
terimalah anak seadanya dan dalam masa yang sama didik mereka menjadi
seorang insan yang mengikut kata kerana hormatkan ibu bapa dan bukan
kerana takutkan ibu bapa.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧