Assalamualaikum wbt..
Dalam memastikan, anda berupaya untuk mencapai impian menyusukan bayi, persediaan awal adalah penting! Jadi siap siaga dengan menyediakan keperluan penyusuan. Seperti yang umum sedia maklum, susu ibu mengandungi sejuta khasiat dan manfaat untuk si manja yang semakin membesar. Dalam enam bulan pertama selepas kelahiran, anda sangat digalakkan untuk menyusukan bayi secara eksklusif. Setelah melalui fasa pertama ini, anda amat disyorkan untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga usia anak mencecah sekurang-kurangnya dua tahun.
Dalam meniti tempoh ini, anda tentu sahaja memerlukan beberapa kelengkapan asas dan peralatan sokongan dalam usaha menjayakan penyusuan susu ibu. Paling penting, kebanyakan kelengkapan yang perlu disediakan ini merupakan pelaburan di masa akan datang, memandangkan kos yang dikeluarkan hanya sekali seumur hidup.
Pam
Tidak kira sama ada pilihan pam anda ialah manual, beroperasi menggunakan bateri atau elektrik, para pakar laktasi mengesyorkan agar ibu-ibu menyusu menggunakan pam yang boleh mengendalikan dua buah corong payu dara bagi membolehkan anda melakukan pengepaman berganda dalam satu-satu masa. Jenis mahupun jenama pam pula terpulang kepada keperluan dan keupayaan ekonomi masing-masing. Namun, aspek penting untuk dititikberatkan dalam membeli pam payu dara ialah jenis pekerjaan anda. Anda perlu selarikan ia dengan keperluan diri yang mungkin perlu kerap bekerja di luar kawasan atau hanya bekerja sepenuh masa di pejabat. Oleh itu, buat tinjauan menyeluruh terlebih dahulu sebelum membeli pam yang diinginkan.
Antara ciri-ciri pam yang baik perlu anda ketahui ialah ia mampu mengumpul stok perahan susu ibu dalam kuantiti yang banyak dalam masa singkat, harganya berbaloi bersesuaian dengan spesifikasi rekaan, mudah dibawa ke mana-mana dan mempunyai jaminan daripada syarikat pengeluarnya. Anda juga boleh tangan untuk memerah susu menggunakan teknik Marmet. Namun, kaedah ini memakan masa dan tidak efektif untuk anda yang berkerjaya.
Botol
Pada masa kini, terdapat banyak botol yang bebas BPA dalam jenis standard dan berleher lebar. Seelok-eloknya dapatkan botol yang bersaiz 5oz untuk kegunaan sewaktu mengepam susu. Ia lebih senang dikendalikan kerana mudah untuk anda memegangnya ketika mengepam. Dalam pada itu, kebanyakan pam yang ada di pasaran mempunyai adaptoryang boleh memuatkan kedua-dua jenis botol standard dan leher lebar dengan pam. Jadi, tiada masalah jika anda memilih untuk menggunakan sama ada botol jenis standard atau leher lebar.
Bekas penyimpanan susu ibu
Selain daripada pam, pemilihan bekas penyimpanan susu perahan yang baik sangat penting. Sama ada bekas itu botol atau beg plastik, pastikan ia bebas BPA. Walau bagaimanapun pada masa kini, ramai yang gemar menggunakan plastik steril untuk menyimpan perahan susu ibu. Hal ini kerana ia mampu menjimatkan lebih banyak ruang berbanding penggunaan botol plastik.
Beg pendingin
Tidak kira beg pendingin bersaiz besar, sederhana atau kecil, anda perlu memastikan ia mempunyai kualiti penebat dingin yang berkualiti agar berupaya untuk menempatkan perahan susu ibu anda sepanjang berada di pejabat sebelum pulang ke rumah.
Pek ais
Apabila memiliki beg pendingin, sudah pasti anda memerlukan pek ais. Hal ini bagi membolehkan susu yang telah diperah dapat bertahan lama ketika disimpan di dalam beg pendingin. Pek ais yang mencukupi diperlukan untuk membolehkan anda menyimpan susu ibu perahan dalam tempoh yang lama. Biasanya tiga pek ais diperlukan untuk dimuatkan di dalam beg pendingin bersaiz sederhana. Jika beg pendingin anda bersaiz besar, anda mungkin memerlukan lebih daripada itu.
Poncho menyusu
Anda memerlukannya ketika mengepam di pejabat bagi mengelakkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum dapat dilihat oleh khalayak. Malah, poncho ini juga dapat anda gunakan ketika keluar bersiar-siar bersama bayi. Ia akan digunakan untuk menyusukan bayi di kawasan awam. Dengan mendapatkan poncho menyusu, anda dapat memakainya untuk dua kegunaan yang berlainan.
Pakaian menyusu
Pakaian yang bersesuaian buat diri anda akan memudahkan proses penyusuan dan juga pengepaman payu dara. Oleh yang demikian, dapatkan koleksi pakaian menyusu yang mempunyai ruang bukaan tertentu bagi membolehkan anda menyusu atau mengepam dengan selesa. Sebenarnya terdapat bermacam-macam jenis bukaan menyusu seperti yang terdapat kepada koleksi pakaian menyusu yang ada di pasaran. Setiap bukaan menyusu berkenaan mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Apa yang paling penting ialah anda perlu mendapatkan pakaian menyusu yang dapat memberi keselesaan kepada diri anda sendiri dan bayi juga.
Ada juga segelintir ibu menyusu yang memilih untuk menggunakan pakaian sedia ada dalam koleksi masing-masing tetapi menggunakan poncho menyusu untuk menutup bahagian tertentu. Malah anda juga yang selesa menyarungkan pakaian yang mempunyai butang di bahagian hadapan.
Bantal menyusu
Bantal ini penting untuk kegunaan awal selepas kelahiran bayi sulung. Memandangkan anda mungkin kekok untuk menyusu, jadi bantal ini dapat membantu. Malah ia juga penting untuk dimiliki anda yang bersalin secara caesarean. Bantal ini bagus kerana membolehkan anda dan bayi mengekalkan keselesaan yang optimum sepanjang proses penyusuan. Anda hanya perlu meletakkan bayi dalam posisi yang betul ketika menyusu. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan kesakitan dan tekanan yang dialami di bahagian belakang tubuh, leher, lengan dan bahu.
Peti sejuk dingin beku
Sekiranya memasang impian untuk menyusu lebih daripada enam bulan dan sekurang-kurangnya dua tahun, adalah lebih baik jika anda mendapatkan sebuah peti sejuk dingin beku yang bersaiz kecil. Langkah ini penting untuk membolehkan anda menyimpan stok perahan susu ibu. Ruang dingin beku, peti sejuk sedia ada mungkin tidak mampu memuatkan stok simpanan perahan susu ibu anda kelak. Apatah lagi perkongsian ruang antara bekalan susu ibu dengan bahan-bahan mentah seperti ayam, daging lembu dan ikan berkemungkinan mendedahkan stok anda kepada bahan-bahan tercemar sehingga boleh mencemarkan kualiti susu.
Pad payu dara
Produk ini penting untuk dimiliki bagi membolehkan lelehan susu ibu dapat diserap dengan baik. Paling penting ia dapat mengelakkan pakaian anda daripada basah ataupun kotor dengan kesan tompokan lelehan susu ibu.
Coli menyusu
Sepanjang proses penyusuan, pastikan anda memiliki beberapa helai coli menyusu yang mempunyai daya sokongan yang baik. Sebaik-baiknya dapatkan coli yang diperbuat daripada bahan yang lembut seperti kain kapas. Hal ini kerana ia lebih selesa berbanding jenis sintetik. Dalam pada itu, adalah diingatkan agar anda tidak menggunakan coli berdawai kerana coli ini akan menyebabkan saluran susu tersumbat. Tanpa disedari akan menyebabkan mengalami masalah lain yang boleh mengganggu kelancaran proses penyusuan.
Aksesori lain
Sapu tangan - Mudah untuk mencuci dan mengelap susu yang tertumpah semasa mengepam atau menanggalkan pam
Berus botol berspan - Ia lembut pada botol dan memudahkan kerja-kerja mencuci.
Beg berjaring - Botol, corong pam payu dara dan lain-lain mudah dikeringkan setelah dicuci apabila dimasukkan ke dalam beg sebegini.
INFO TAMBAHAN
Kajian menunjukkan sel darah putih mungkin akan melekat pada bekas penyimpanan susu kaca dan tidak pada plastik. Keadaan ini menjadikan bekas penyimpanan susu plastik sebagai pilihan yang lebih baik untuk menyimpan susu ibu.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧