Assalamualaikum wbt
Dalam
menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan
kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan,
mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak
mendapat maklumat yang cukup.
Oleh
itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu
cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan
dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami
berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan
kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua
kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam
konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan
tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang
Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam
kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan
jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan
mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah
dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah
jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas
Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku
mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan
hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara
berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat,
kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka,
sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah
s.w.t mengingati dengan firmanNya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhi lah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta'
- surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang
dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah
jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau
kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun
mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut
dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang
ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada
anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam
mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah
amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi
pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya
(dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik
dan positif.
Dalam
keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat
yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang
positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif
yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa
yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan
silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan
jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan
perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t
mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧