Punca Penghalang Doa Dari Di Terima Allah

Monday, February 20, 2017


Assalamualaikum wbt..
Antara sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.

Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina." (al-Mukmin: 60)

Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;

1) Menggunakan harta haram
Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: …Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (riwayat Muslim)

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram. Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh.

Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).

Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.

Image result for doa


2) Gelojoh dan terburu-buru
Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.
Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.

Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.


3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa
Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.

Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki”. Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)


4) Lalai dan tidak khusyuk
Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.

Sabda Nabi SAW: “Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk.” (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).


5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar
Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (ali-Imran: 110)

Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.

Nabi SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan.” (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)

6 comments

  1. Semoga Allah memperkenankan doa2 kita walaupun kita sering berbuat dosa. Dan kita juga kena sentiasa bertaubat kepadaNya.

    ReplyDelete
  2. Allahuakhbar =')

    bru bksempatan bw ari ni, comel nya template =D

    ReplyDelete
  3. Allah.. peringatan yang tajam..
    semoga kita semua sentiasa beringat..
    Aamiin..

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧