Wanita tua kala remang senja

Saturday, February 23, 2019


Yasmin tidak pernah tinggal di asrama. Sejak kecil dia duduk dengan kedua-dua ibu bapanya di kampung sehinggalah tamat persekolahan. Tapi setelah diterima melanjutkan pengajian di sebuah kolej jururawat rutin hidupnya mula berubah. Sebagai seorang pelajar di kolej itu, Yasmin perlu tinggal di asrama. Asrama itu adalah sebuah bangunan rumah kedai yang telah diubah suai menjadi tempat penginapan semua pelajar di kolej tersebut. Setiap unit telah diberikan nombor bagi memudahkan urusan pihak kolej. 

"Bilik 310," ujar pelajar senior kepada Yasmin ketika dia mendapatkan kunci bilik asramanya.

"Terima kasih," balas Yasmin.

"310 maksudnya tingkat tiga, bilik nombor 10. Ini bilik hujung sekali sebelah bilik mandi," ujar senior itu.

Dalam hati Yasmin berkata-kata. Bilik sebelah bilik mandi? Adui, mendengarnya saja sudah seram bulu roma. 

Yasmin melangkah berhati-hati menaiki tangga ke tingkat tiga. Agak payah dia mengheret beg yang sarat dengan pakaian dan barangan keperluan lain. Asrama yang ditinggalkan bersempena cuti semester yang agar panjang membuatkan keadaan agak berhabuk.

Kini sudah dua minggu Yasmin bergelar pelajar di kolej di sini. Cuti sempena Awal Muharram membuatkan tiga rakan sebilik Yasmin bercuti. Yasmin yang tinggal agak jauh membuat keputusan untuk tidak pulang kerana tempoh cuti yang agak singkat. Senja itu Yasmin baru pulang daripada berjoging. Dia mengambil tuala dan peralatan mandian lalu bergegas ke bilik mandi di sebelah biliknya kerana azan Maghrib akan dilaungkan tak lama lagi. Dia perlu cepat untuk menunaikan solat Maghrib. Kala langkahnya hampir sampai ke muka pintu bilik mandi, satu suara mengejutkannya dari belakang.

"Nak, boleh makcik tau di mana bilik nombor 411?" tanya seorang wanita tua yang berpakaian baju kurung Kedah dan berkain batik sambil membawa sebunjut kain batik yang biasanya berisi pakaian. 

Yasmin agak terkejut dengan teguran wanita tua itu. Apatah lagi dengan keadaan wanita tua itu yang berkeadaan agak pelik. Namun, Yasmin cuba menyembunyikan perasaan gugupnya itu.

"Sini tingkat tiga makcik. Bilik 411 berada di tingkat empat," ujar Yasmin.

"Boleh hantar makcik ke sana? Makcik nak berjumpa dengan anak makcik," kata wanita tua itu.

"Oh, boleh. Marilah," kata Yasmin sambil meletak barang mandiannya di atas meja di tepi bilik mandi itu.

Yasmin berjalan mendahului wanita tua itu. Dia yang kelihatan sedikit uzur itu berjalan perlahan-lahan di belakang Yasmin. Menoleh ke belakang dan melihat wanita tua itu berjalan lambat, Yasmin memperlahankan sedikit langkahnya. Di anak tangga, Yasmin membantu wanita tua itu untuk menaiki satu persatu anak tangga. Yasmin berasa terkejut kerana tangan wanita tua itu sejuk bila takala dipegang. Namun dia cuba berlagak biasa. Hari semakin gelap. Yasmin melangkah mencari bilik nombor 411 seperti yang dikatakan oleh wanita tua itu. Kala dia sampai di hadapan bilik 411, ternyata bilik itu adalah bilik mandi yang turut menempatkan tandas. 

"Makcik, betul ke bilik anak makcik 411? Ini bukan bilik asrama tapi bilik mandi dan tandas," ujar Yasmin.

"Ya, memang betul bilik 411. Anak makcik yang beritahu makcik nombor biliknya," kata wanita tua itu.

"Siapa nama anak makcik tue? Mana tahu saya kenal. Mungkin dia tersalah beri nombor bilik. Tapi sekarang nie ramai pelajar cuti," balas Yasmin.

"Nama anak makcik adalah Ayu Sakinah. Dia memang duduk di sini. Ha, tue suara dia ada tue. Dia panggil makcik," kata wanita tua itu sambil berlalu berjalan perlahan masuk ke dalam bilik mandi dan tandas itu.

Yasmin terkedu. Sekaligus giginya terasa sejuk dan bulu roma tengkuknya meremang. Terdengar azan Maghrib dan kelibat wanita tua itu hilang daripada pandangannya. Yasmin berlari menuju ke biliknya di tingkat tiga. 

Dah seminggu Yasmin demam. Dia sungguh berasa terkesan dengan kejadian yang menimpanya minggu lalu. Barulah Yasmin tahu yang Ayu Sakinah merupakan bekas pelajar kolej itu yang meninggal dunia di bilik mandi kerana tergelincir. Kejadian itu berlaku pad musim cuti namun Ayu Sakinah tak balik kampung kerana cuti yang singkat dan kampungnya pula jauh di Sabah. Ibunya di kampung terlalu sedih dengan kejadian itu lau meninggal dunia tak lama kemudian. Sejak kejadian itu, memang selalu kelihatan kelibat wanita tua yang mencari anaknya di bilik mandi tempat kejaidan tersebut berlaku, terutama pada waktu cuti. Bilik mandi di tingkat empat itu memang jarang digunakan oleh pelajar kolej tersebut.

Mulai hari itu, Yasmin selalu pulang ke kampung jika ada cuti walaupun singkat. Dia dah tak berani duduk sendirian di bilik asrama apatah lagi jika waktu cuti. Kejadian ini turut menjadikan Yasmin lebih berhati-hati di bilik mandi agar tidak tergelincir kerana malang tak berbau. 

*sumber cerita daripada Mingguan Wanita

#shikinrazalidotcom #bloggerterengganu #bloggersepang



4 comments

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧