Assalamualaikum,
Aku minta maaf kepada semua kerana tidak dapat mengemaskini blog aku untuk beberapa hari ini, ini kerana aku mengikuti kursus Basic Communication In Japanese di INTAN Jalan Elmu.... memang best belajar bahasa Jepun dan aku berasa amat seronok sekali dengan adanya tutor yang baik belaka... Contoh yang aku boleh bagi untuk pelajaran bahasa Jepun adalah :-
" Sumimasen, ohayo gozaimasu, watashi was Shikin desu, Putrajaya no Jabatan Bomba Dan Penyelamat kara desu, kore wa meishi desu, dozzo yoroshiku..."
Macamana dengan bahasa Jepun aku?ok ke tidak?hehe itulah pelajaran bahasa Jepun aku dan Insya Allah aku akan praktikkan dalam masa terdekat ini...Mungkin jikalau ada rezeki,aku akan terbang ke Jepun, jadi tidaklah terkial-kial hendak bercakap dengan orang Jepun yang sememangnya mementingkan bahasa ibunda mereka....
Assalamualaikum,
Aku tidak pasti sama ada aku dapat mengemaskini blog aku atau tidak, ini kerana internet rumah aku terasa amat lembap sekali dan aku tidak pasti aku akan buat...Jikalau aku tidak dapat buat kemaskini, aku akan cuba lakukan yang terbaik untuk semua...FIGHTING!!! hehehe aku sudah terpengaruh dengan budaya K-Pop dan irama K-Pop sememangnya menjadi kegilaan semua orang,bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia pun mengenali K-Pop...Jikalau dulu orang Malaysia minat Bollywood Pop, lepas itu Latin Pop, kemudian J-Pop (Jepun) dan sekarang ini demam K-Pop telah melanda seluruh dunia... Aku pun tidak kecuali dari meminati artis artis dari Korea ini, Super Junior, SNDS (Girl's Generation),SHinee, T-ara, DBSK dan ramai lagi... Drama Korea yang aku minat Let's Go Dream Team, Super Junior Show, Super Junior EHB, Music Bank, Invincible Youth dan Star Golden Bell....hehehehe memang banyak juga kegilaan aku pada masa ini...Cuaca pada hari ini agak panas sedikit sampai ke waktu malam... nasib baik dalam bilik aku ada aircond, sejuk sedikit....Panas betul hari ini.... |
Assalamualaikum, huhuhu agak sedih aku hari ini kerana impian aku untuk memiliki Unifi tidak kesampaian kerana Unifi tidak ada coverage di Sepang, hanya ada di KLIA sahaja.... Aku kena tunggu coverage dari TMnet dulu baru boleh dapat pakai Unifi... Apa malang nasib aku ini... hmmm tak mengapalah, hati aku semakin berdebar-debar untuk pergi ke kursus minggu depan... Walaupun aku cuma berulang alik untuk ke sana tetapi debaran makin kencang di hati aku ini....
Malam ini movie di channel tv semua tidak best untuk di tonton...oh ya! sebut pasal channel tv, drama Korea iaitu Smile Again sudah habis episod... memang best di akhir episod ini, akhirnya keluarga Donghae dapat bersatu semula...Donghae dapat kahwin dengan Bongi, Saewa sudah dapat berbaik dengan Donghae dan rujuk semula dengan bekas suami dia iaitu Dojin...Ibu bapa Dojin pula sudah berbaik semula dan Anna Laker sudah dapat menerima kenyataan yang James bukan miliknya lagi...Anna Laker sudah berbaik dengan Piljae dan Soolnyeo pula sudah dapat pengganti cintanya dan cinta baru dia adalah ketua chef Hotel Camellia.....Saeyoung pula sudah dapat jadi model terkenal seperti diidamkan dan Taehun pula sudah menjadi hakim sekarang ini ekoran dari kilang kimchi ibu bapa Taehun sudah berkembang maju....Aku suka melihat last part drama ini kerana ianya happy ending....
Bagus drama ini...5 BINTANG!!! |
Hari ini adalah hari gaji dan sebagaimana rutin sebulan sekali, aku akan membuat bayaran bil-bil yang telah dibahagikan antara aku dan hubby... Aku bernasib baik kerana hubby aku begitu mengambil berat tentang diriku dan keluarga kami...Cuaca pada hari ini cerah sebagaimana seperti hari sebelumnya dan aku bersyukur pada Allah kerana memberi kesihatan kepada aku dan hubby dan menikmati keindahan alam semula jadi... sekarang ini hubby aku mempunyai kerja di rumah, iaitu membuat wallpaper di rumah kami... hehehe pada mulanya aku nampak agak janggal bila dia membuat wallpaper... tapi lama kelamaan nampak cantik pula wallpaper itu.... hehehe walau apapun aku tetap menyokong usaha murni hubby dalam mencantikkan lagi dinding rumah kami yang asalnya nampak cerah kebiru-biruan...Aku fikir mahu tukar channel internet rumah, aku fikir mahu pakai Unifi dari TMnet... sebab internet Celcom ini kadang kala laju dan kadang kala slow yang amat.. Aku telah bincang dengan hubby dan dia pun setuju dengan cadangan aku... Aku fikir esok aku akan pergi ke kedai TMnet di Cyberjaya...
Hurmm...Komputer aku masih rosak lagi...Tadi aku sudah call supplier sistem library aku dan mereka sudah boleh membaiki. Mereka meminta aku membuat temujanji dan nasib baik aku teringat tentang rancangan aku dan pegawai aku untuk pergi kursus.Lantas aku beritahu mereka yang mereka perlu datang 2 minggu lagi kerana aku dan pegawai aku akan pergi kursus secara serentak. Aku perlu mengikuti kursus Basic Communication In Japanese di INTAN Jalan Elmu manakala pegawai aku pula perlu mengikuti kursus Jati Diri di Tasik Chini. Aku perlu ikut kursus ini selama seminggu dan ini menyebabkan aku berdebar-debar,dalam hati aku bertanya sama ada aku dapat ikuti atau tidak kursus ini? hmmm.... Aku memang ingin sekali mengikuti kursus-kursus bahasa asing selain dari bahasa ibunda dan bahasa Inggeris seperti bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Korea, Kantonis dan Mandarin. Aku sememangnya amat berminat untuk mengikuti kursus-kursus ini selain kursus yang melibatkan bidang pustakawan aku ini... Harap aku dapat mengikuti kursus ini dengan jayanya... Oh ya! terlupa pula pada laporan cuaca aku pada hari ini, maaf.. Cuaca hari ini dan kebelakangan ini agak panas sedikit dan hujan tidak turun... tetapi bagus juga sebab minggu ini aku dapat membasuh baju aku,rutin seminggu aku...hehehe
Assalamualaikum,
Hari kedua selepas hari Isnin... Sememangnya hari yang penuh ceria dan sunyi... Dan minggu depan library kami akan tutup untuk seminggu, ini adalah kerana minggu depan aku akan pergi kursus 'Basic Communication In Japanese' selama seminggu di INTAN Jalan Ilmu... Manakala boss aku pula akan ke Kursus Jati Diri di Tasik Chini (mungkin)... Sememangnya minggu depan kami akan sibuk dengan aktiviti kursus masing-masing... Semalam aku ada cerita pasal hubby aku perihal kapal layar yang dia beli... Aku ingatkan kapal layar itu besar sangat-sangat tetapi boleh tahanlah kebesaran kapal layar itu... Hubby aku bukan main gembira lagi bila kapal layar dia sudah ada di depan mata... Kapal layar itu bercorakkan kapal zaman purba dahulukala, ala-ala cerita 'Hikayat Merong Mahawangsa'... heheheh aku tengok macam kapal layar yang berada di Sungai Melaka saja.... Semalam anak-anak kucing aku masuk dalam rumah dan menyorok di bawah kabinet, masing-masing menjelirkan lidah macam anjing menandakan mereka berasa amat panas ketika berada di luar rumah... Kadang-kadang aku kasihan melihat mereka tapi apakan daya aku tidak dapat mengurung mereka di dalam rumah, takut mereka kencing / buang najis di merata tempat. Hari Sabtu dan Ahad sahaja mereka dapat masuk ke dalam rumah memandangkan aku berada di rumah...Yang selalu bermanja dengan aku adalah Koko, manakala Putih dan Anjang pula jenis anak kucing yang dengki pada Koko yang bermanja dengan aku lalu mereka pun mula memanjat ke peha aku, minta diusap kepala mereka, tanda hendak bermanja...Si Kecik pula selalu mengiau suruh aku ambil dia untuk di dukung dan diusap sebab Kecik memang malas hendak berjalan...Macam-macam karenah anak-anak kucing aku ini, mengalahkan manusia pula.... Sekurang-kurangnya aku dapat melegakan perasaan tension aku pada mereka, yealah aku asyik terjerit-jerit kalau mereka berebut makanan... Sampai aku penat melayan karenah mereka kerana aku terpaksa menunggu mereka makan, kalau tidak kucing kucing lain akan makan makanan mereka....Begitulah rutin aku seharian selepas penat bekerja, lepas mereka mula bermain, aku akan ke bahagian hadapan halaman rumah untuk menyiram pokok bunga manakala hubby pula akan menyiram tanaman sayur di belakang rumah....di belakang rumah kami, hubby ada tanam pokok pisang, jagung, serai, betik, kunyit, bawang, limau purut, limau nipis dan ulam raja, ala-ala kebun...hehehe Al-Hamdulillah kami dapat beli rumah yang ada tanah di belakang rumah sebab di Selangor ini, tidak banyak perumahan ada halaman belakang rumah, kalau adapun jaraknya cuma 3 kaki dari pintu dapur aje, cukup sempit... Rumah kami pula berkeluasan 20' x 65' dan halaman belakang diberi 6 kaki dari pintu dapur....
Assalamualaikum, Hari ini boss aku tiada di office kerana menghadiri mesyuarat perpustakaan di Gambang Resort, Pahang... Boss aku pergi ke sana selama tiga hari dan nampak gayanya aku keseorangan lagi, ewahhh...Macamlah aku ini baik sangat, walhal aku pun baru masuk office hari ini berikutan MC 2 hari....hurmm hendak buat macam mana, memang kesihatan aku kurang sihat sedikit.... Bila balik dari office, aku singgah ke KLIA untuk mengambil sample kapal layar yang hubby aku belikan...Ishh..ishh...mana hendak diletakkan kapal itu yea dan boleh muatkah kapal itu untuk dimasukkan ke dalam kereta...Hmmm tak mungkin besar sangat kapal itu kan... Hehehe tidak mengapa, kita tunggu kemunculannya petang nanti... Hmm apa agaknya anak-anak kucing aku buat yea?!! oh ya! lupa mahu beritahu, aku sebenarnya mempunyai anak kucing yang comel dan emak kucing itu sudah tentu si Tupai... Tapi sudah seminggu Tupai tidak pulang ke rumah.. Sakitkah dia atau sudah menjadi bangkai kah? aku pun tidak pasti, pada mulanya anak kucing aku mengiau kelaparan susu tetapi sekarang ini mereka tidak lagi lapar susu tetapi sekarang ini mereka sudah mula makan biskut kucing....Memang berselera betul tengok mereka makan... untuk sementara waktu,aku mengurung mereka di dalam sangkar dan bila sudah besar sedikit, aku akan lepaskan, tapi jangan pula kalian sangka aku mengurung mereka setiap masa...Aku cuma mengurung mereka pada waktu malam sahaja dan bila waktu pagi sebelum aku pergi kerja aku akan lepaskan mereka.... Mereka biasanya akan bermain di bawah rimbunan pokok serai dan batang pisang untuk memanjat, sampai lunyai pokok pisang itu mereka kerjakan... Anak kucing aku ada 4 ekor (3 jantan, 1 betina)... Nama yang aku bagi cukup mudah diingat iaitu Putih, Koko, Ajang dan Kecik...hehehehe.... Mereka memang rapat dengan aku sampaikan mereka serbu ke pintu dapur bila mereka mendengar (agak aku) aku buka pintu... Macam biasa mereka akan mengiau minta makanan dan sesudah itu mereka akan bermain-main di sekitar rumah... Aku bersyukur kerana mereka tidak membuang najis di rumah jiran-jiran dan mereka membuang najis mereka di longkang aku... Hmmm nasib baik juga kalau tidak susah juga aku mahu basuh najis mereka itu sekiranya mereka membuang di sekitar rumah jiran... Anak kucing aku mandikan seminggu sekali untuk mengelakkan dari terkena kutu dan setakat ini Al-Hamdulillah tiada penyakit kutu menyerang anak kucing aku....
Assalamualaikum,
Ramai sahabat aku bertanya pada aku mengenai ikan salmon...Antara soalan cepumas mereka adalah ikan salmon itu sesuai dimasak cara yang macamana, tidak hanyirkah ikan salmon ini, macamana rasanya ikan salmon itu...Jenuh juga aku hendak menjawabnya.. Aku lebih gemar buat sup ikan salmon dan suami pun gemarkan sup yang aku masak ini... Dahulu suami aku tidak pandai memakan ikan salmon tetapi sekarang?!! Suami aku sering bertanya ikan salmon ada lagikah dan tidak masak ke sup ikan salmon hari ini?!! hehehe itulah suami aku yang tercinta.... Aku pernah cuba untuk menggoreng ikan salmon itu tetapi hasilnya tidak sedap... Dan aku juga cuba memanggang ikan salmon sebagai mana chef masakan antarabangsa buat tetapi ianya bukan selera aku.... Akhir sekali aku membuat sup ikan salmon dan itu paling sedap... huikss!! Sekejap sahaja masa berlalu dan sekarang ini kita berada di ambang pertengahan bulan Jun dan bulan Julai akan muncul tidak lama lagi... Rasanya baru semalam aku bekerja dan lagi tiga bulan sahaja aku telah disahkan bekerja sebagai pembantu perpustakaan... Sudah 9 tahun aku berkhidmat di sektor kerajaan dan aku bersyukur sekali kerana dapat membantu sedikit bebanan suami.... Dan tinggal cuma sebulan setengah sahaja lagi aku telah rasminya menjadi isteri kepada Mohd Nazeri dan telah 4 tahun kami melayari alam perkahwinan dan aku harap ianya akan kekal hingga hujung nyawa....
Assalamualaikum..
Minta maaf pada semua kerana aku tidak dapat mengemaskini blog aku ini... Ini adalah kerana 2 hari lepas aku MC kerana senggugut yang amat teruk sekali sampai aku tidak boleh bergerak atau bangun dari katil... Memang rasa terseksa dan mungkin masa melahirkan anak aku nanti sakitnya mungkin seiras dengan senggugut... Sudah agak lama aku tidak diserang senggugut dan pada hari Khamis itu memang terasa amat sakit hingga membuatkan aku menangis teresak-esak kerana menahan kesakitan.... Oh ya! aku sudah pergi mengambil cek dari Sriera Development Sdn Bhd dan aku sudah masukkan dalam akaun bank aku... Dan tadi berlaku sejarah apabila aku dan suami pergi ke bank CIMB untuk menukar duit syiling...Kami pergi ke KLIA kerana di sana bank CIMB dan semua bank telah dibuka untuk perkhidmatan meskipun pada hari Sabtu dan Ahad.... Memang berat duit syiling yang suami aku kumpulkan sejak awal tahun ini dan kami jangka akan mendapat sebanyak RM300 untuk duit syiling yang dia simpan.... Tapi yang paling best dalam cerita ini adalah kami tidak pergi ke kaunter untuk menukar duit syiling, tetapi sebaliknya kami pergi ke mesin deposit duit yang boleh dimasukkan syiling juga... Mesin deposit yang dimiliki oleh CIMB adalah yang pertama sekali di Malaysia dan aku begitu kagum dengan kecanggihan teknologi masakini... Ini kali pertama kami melihat mesin deposit duit syiling dan bila kami masukkan duit syiling dalam mesin itu, kedengaran bunyi yang amat bising sekali kerana syiling syiling itu berlaga sesama sendiri dan ini menarik perhatian kepada manusia yang lalu lalang dekat situ... Syiling yang kami masukkan begitu banyak sampai berlaku kerosakan pada mesin itu menyebabkan kerja kami tergendala... Mujur juga ada kakitangan bank itu sedia membantu dan membaiki mesin itu...Ingatkan rosak betul tetapi yang sebenarnya duit syiling dalam mesin itu telah penuh hadnya...Laaa.. Patutlah duit kami tidak dapat masuk tetapi kami berdua sabar menunggu sementara mereka membaiki mesin itu dan akhirnya kami dapat memasukkan duit syiling itu ke dalam mesin tersebut....Kemudian aku hantar suami balik ke rumah dan aku mahu singgah sebentar ke pasaraya Giant untuk membeli ikan salmon kegemaran aku...
Pagi tadi aku menerima panggilan telefon daripada Sriera Development Sdn Bhd yang mengatakan bahawa cek aku berkaitan dengan aircond sudah siap dan hanya menunggu kedatangan aku sahaja untuk pergi mengambilnya.... Aku berasa amat gembira sekali dengan rezeki yang aku dapat dan aku bersyukur sangat... jadi duit itu boleh aku pergi membeli belah di Cameron Highlands nanti... Alamak, sebut pasal Cameron Highlands aku masih lagi ada hutang puasa yang belum aku laksanakan... Bila agaknya mahu habis ??? Bulan Ramadhan sudah semakin hampir dan aku tidak membuat sebarang persiapan lagi untuk menyambutnya... Apa apa pun aku harap agar aku dapat melaksanakan tugas aku dengan baik sekali... aku melayari laman web Sriera Development Sdn Bhd untuk mencari alamat dan setelah itu aku melihat pada Google Maps untuk mengetahui lokasi syarikat itu... GPS aku ini tidak dapat mencari alamat yang sebenar dan aku cuma dapat cari bangunan yang berkaitan dengan tempat itu.. Akhirnya aku telah berjaya menjejaki bangunan yang berhampiran dengan syarikat itu, dan hari Sabtu ini aku akan pergi mengambil cek itu bersama dengan suami aku.... Nasib baik aku membeli gadget telefon yang mempunyai GPS.. Senang sikit hendak mencari tempat/lokasi yang dicari.... Hubby aku pun ada GPS juga tetapi tidak boleh digunakan sebab GPS dia perlukan internet online untuk mengakses GPS...Nasib baik aku punya GPS tidak memerlukan internet online....
Assalamualaikum,
Aduh, terasa amat penat sekali badan aku ini... Padahal hari ini adalah hari pertama hari bekerja iaitu 'Monday Blues'... Macam biasa, aku akan membuat kerja aku dan nasib baik aku membawa lapotop ke office... Jadi aku tidak akan bosan untuk membuat kerja-kerja terbengkalai... Bak kata pepatah, 'sambil menyelam, minum air'... Dalam lapotop aku itu mempunyai pelbagai cerita yang boleh menghilangkan mengantuk yang sememangnya sinonim dengan aku... Penat aku download movie ini dalam youtube... Memang best lah tetapi kalau ikutkan hati, aku mahu download movie kanak-kanak...Tak kisah lah apa tajuknya janji movie itu dapat menghilangkan rasa mengantuk dalam office.... Suasana yang sepi (memang lah sepi sebab dalam perpustakaan) membuatkan aku berasa mengantuk... Sesekali aku akan bersembang dengan boss aku.... Lepas itu, kedengaran bunyi ketukan jari di keyboard komputer boss aku menunjukkan yang dia sedang buat kerja.... Hurrmmm... Masa berjalan dengan begitu pantas sekali dan tidak tinggal walau sesaat sekalipun 'dia' berhenti.... Wehhh, ingat ini cerita Doraemon ke hendak berhentikan masa... Tadi masa aku tengah belek surat khabar, ada berita melaporkan yang akan berlaku bulan gerhana pada pagi Khamis nie, bermula dari pukul 1.00 pagi hingga 5.00 pagi... Fikiran aku ligat bekerja sama ada aku mahu tunggu atau tidak pada pagi tersebut, bukannya apa takut aku tidak terjaga dari tidur nanti.... Fikiran aku makin ligat bekerja bila memikirkan masalah dunia...hurmm... Aku fikir baik tidak usah fikir lagi...hahahahaha!!!
Aku minta maaf kerana tidak mengemaskini blog aku pada 2 hari lepas iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.. Aku mengalami sedikit kemalangan jatuh dari bilik air dan kaki aku bengkak... Aku pergi ke klinik panel untuk membuat pemeriksaan dan aku diberi cuti sakit pada hari Jumaat... Mungkin ini adalah kerana aku seperti mengantuk semasa aku ingin mencapai berus gigi aku dan mungkin aku terpijak serpihan sabun mandi dan disebabkan itu aku terjatuh dalam bilik air... nasib aku baik kerana aku tidak jatuh terlentang dan hanya terjatuh duduk sahaja..walaupun begitu, punggung aku berasa amat sakit dan aku hanya berehat di rumah sahaja tanpa melakukan apa-apa pekerjaan....Nasib malang aku bertambah kerana pada keesokan harinya, aku mengalami gastrik yang amat teruk dan memang sudah lama penyakit gastrik aku tidak menyerang..... Entah mengapa hari itu sememangnya aku menjadi begitu sakit.... Walau apapun aku akan tetap tabah dalam menghadapi penyakit aku ini kerana aku tahu segala penyakit yang menimpa kita adalah penghapus dosa dosa kecil kita...
Assalamualaikum,
Fuh !! Semalam aku menggunakan Takasima dan aku amat berpuas hati dengan barangan itu dan aku mula mengayuh basikal dan jogging sejauh 20km.... Tetapi amat malang nasib aku kerana kalori yang aku bakar tidak banyak di bakar, mungkin lemak di badan aku ini sudah tepu tetapi aku akan berusaha untuk mengurangkan berat badan aku..... Suami aku telah tidur awal kerana pada pukul 12.00 tengah malam nanti dia akan bangun untuk membuat kawalan rumah di sekitar taman perumahan aku... Sekarang ini ramai penceroboh telah masuk ke rumah untuk merompak dan mujur ada di kalangan kami yang sanggup berjaga malam untuk menjaga taman perumahan.... Letih betul rasa badan aku ini kerana penat mengayuh biarpun tidak bergerak dan aku menganggap yang aku telah mengayuh keliling kampung...
Semalam aku dan pegawai pergi ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk membuat pinjaman buku secara berkelompok. Kami pergi ke sana pada pukul 9.00 pagi dan nasib kami baik kerana kami tidak terkandas dalam kesesakan lalulintas yang sememangnya kami sedia maklum... Kami sampai di Perpustakaan Negara Malaysia pada pukul 9.30 pagi dan kami bersarapan di sana... Bila sudah kenyang, kami pun bergerak ke Wisma Sejarah bersebelahan dengan Perpustakaan Negara Malaysia di mana bahagian pinjaman buku ditempatkan... Pada mulanya aku dan pegawai memilih buku-buku yang berilmiah sedikit tetapi lama kelamaan kami menjadi letih dan kami mengambil apa sahaja tajuk buku yang bersesuaian..Hasilnya kami dapat mengumpul 230 buah buku untuk dipinjam dan kami harus pulangkan semula buku-buku itu dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pinjaman.... Ada lebih kurang 2 kotak untuk diangkut balik ke Putrajaya dan pemandu kami iaitu Abang Mizan telah sudi mengangkat kotak itu untuk diletakkan ke dalam bonet kereta.... Kami selesai membuat pinjaman pada pukul 12.30 tengahari dan semasa dalam perjalanan pulang, aku menerima panggilan telefon dari Takasima Sdn Bhd dan mereka mahu menghantar barang pesanan aku ke rumah hari ini.. Apa lagi, kelam kabut juga aku disebabkan perkara itu... Aku minta kebenaran untuk balik ke rumah dan aku bernasib malang pada hari itu... Ini kerana dalam kelam kabut tadi juga aku tertinggal telefon bimbit aku di office dan aku terpaksa meminjam telefon bimbit kepunyaan jiran aku, Ila... Aku menelefon suami aku untuk memberitahu situasi aku dan aku meminta suami menelefon pemandu Takasima supaya datang ke rumah... Dalam 10 minit kemudian, van Takasima pun sampai dan aku pun bergegas pulang ke rumah yang jaraknya dalam 10 langkah sahaja.... Mereka mula memasang barangan Takasima dan aku membuat bayaran kepada mereka secara tunai....Kemudian, bila mereka pulang, aku bergegas ke dapur untuk makan tengahari kerana aku tidak sempat menjamah nasi yang aku beli di kantin Perpustakaan Negara Malaysia... Kemudian, aku pergi mandi dan segarkan badan aku ini dan aku kembali ke office pada pukul 3.30 petang dan aku sampai ke office dalam masa 25 minit.... Kemudian aku pulang ke rumah agak lewat sedikit bagi mengganti masa yang aku tinggalkan office tengahari tadi....Pada malamnya aku pun mencuba barangan Takasima....
Bulan Jun sudah tiba.... Kita semakin hari semakin meniti usia tua dan kita belum tahu bilakah kita akan dijemput oleh Yang Maha Esa... Ibadat kita belum mencukupi bagi berdepan dengan Yang Maha Agung dan aku berasa amat kerdil sekali di sisiNya...Bulan Jun juga merupakan bulan menyambut hari bapa sedunia... Sebagaimana bulan Mei,kita menyambut hari ibu sedunia,bulan Jun adalah kita memperingati bapa kita yang sentiasa membanting tulang mencari rezeki dan memberi pendidikan yang sempurna untuk anak-anak... Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI BAPA kepada abah aku yang berada di Kampung Losong, Terengganu... Nur sayang abah dan Nur akan sentiasa ingat pengorbanan abah dalam memberi pendidikan sempurna dan makan minum Nur... Terima kasih abah kerana mengajar Nur erti kehidupan yang sebenar dalam bumi Allah ini... Ya Allah, Kau selamatkan kedua ibu bapa aku yang penat mencari rezeki kepada aku dan adik-adik... Kau selamatkan kedua ibu bapa aku dari azab api neraka Mu dan Kau berikan rahmatMu kepada mereka...
Assalamualaikum,
Hari Isnin sudah menjelma kembali... seperti baru semalam aku berehat dan sekarang ini adalah waktu aku bekerja mencari rezeki....Namun pada pagi yang cantik ini aku keseorangan kerana boss aku telah mengambil cuti hari ini.... Sunyi rasanya perpustakaan ini bila boss aku tiada di tempat dia dan aku bernasib baik kerana ramai juga sahabat sahabat aku yang lain ada datang melawat perpustakaan untuk membaca surat khabar dan buku serta melayari internet sambil bersembang antara satu sama lain... Kadang kala aku terdengar bunyi kicauan burung yang berterbangan di luar bangunan dan ianya menjadi satu muzik yang merdu sekali... Alangkah indahnya alam ini dan aku berasa amat bertuah dan bersyukur kerana sekali lagi aku diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah SWT... Kecantikan alam maya ini memang tiada tandingannya dan tiada sesiapapun dapat mengubah kejadian alam yang serba indah ini....
Assalamualaikum... Sempena hari lahir sahabat aku Puan Jamilah Sailillah, aku mendoakan kesejahteraan hidup kamu, panjang umur, murah rezeki, dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT selalu.... Hidup kita semakin hari semakin dimamah usia tetapi amal ibadat kita janganlah dilupakan.... dan menyusul kemudian hari lahir ummie aku pula..aku sudah berpakat dengan siblings aku untuk membuat kejutan pada ummie nanti.... hehehe untuk sahabat aku, inilah kek yang aku sediakan untuk kamu.... dan aku harap agar kamu akan suka pada kek ini....
Hari ini adalah cuti umum untuk Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong iaitu DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ... Daulat Tuanku... hurmm tapi yang tidak bagus adalah besok sudah tentu tidak ada cuti gantian sementara di Kelantan, Terengganu dan Kedah mempunyai cuti gantian esok... huhuhu tetapi tidak mengapa...Aku sedikit pun tidak kisah akan hal itu... Hari ini cuaca amat baik sekali dan aku dapat mencuci pakaian aku dan suami dan yang paling menggembirakan adalah pakaian semua kering sepenuhnya walaupun aku mula mencuci agak lewat sedikit.... Hari ini menu masakan aku adalah nasi ayam tetapi aku tidak membuat ayam sebaliknya aku membuat gulai ikan kerapu dan sup ikan salmon.... Hurmm memang sedap! Suami aku pula tiada di rumah pad pagi tadi kerana dia pergi ke kedai untuk membuat servis pendingin udara kereta yang sekian lama tidak servis.... hehehe sebenarnya sejak suami beli kereta hingga ke hari ini, dia tidak pernah sekalipun membuat servis pendingin udara kereta dan sekarang pendingin udara sudah tidak sejuk lagi... Sebab itu aku minta suami membuat servis...
Hari ini macam biasa aku dan sahabat aku akan ke Alamanda tetapi aku hanya menemani sahabat aku sahaja untuk membeli McDonald...Ini kerana adalah pada pukul 10.30 pagi tadi aku telah keluar sebentar untuk mengisi minyak petrol di Presint 8 dan sekaligus aku membeli roti di kedai roti yang berhampiran... Dalam masa yang sama, suami aku telah berpesan untuk meninjau harga pengangkat berat yang dinamakan 'dumbbell'... Kemudian pada pukul 6 petang setelah aku balik dari kerja aku dan suami bergegas ke Alamanda untuk membeli dumbbell tersebut kerana aku dapati harga dumbbell agak murah kerana pada masa ini terdapat promosi yang telah dilangsungkan di kedai tersebut.... Sebaik sahaja sampai di rumah suami terus memasang dumbbell dan terus menggunakannya... Geli hati aku memandang gelagat suami aku ini tetapi aku amat gembira kerana dia telah dapat apa yang dia idamkan selama ini....
Idaman suami... |
Ini adalah produk yang aku beli... |
Assalamualaikum,
Hari ini merupakan hari kedua untuk bulan Jun tahun 2011 dan aku berasa amat bersyukur kerana dapat bernafas untuk sehari lagi di bumi Allah yang indah ini.... Minggu lepas aku ada menempah filem baru di Atsro First iaitu filem 'Kongsi' lakonan Sam Shaheizy,Putri Mardiana, Azad Jasmin, Pak Piee, Norliana Samsudin dan Fizo Omar.
Filem ini adalah filem aksi komedi mengisahkan penyiasatan ASP Shariff terhadap kes pembunuhan di kalangan kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur. Kumpulan kongsi gelap ini terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang selalu bergaduh selepas berlakunya sesuatu kes pembunuhan. ASP Shariff akhirnya berjaya mengesan seorang pembunuh upahan bernama Tumulak yang terpaksa melakukan pembunuhan untuk menebus hutangnya. Pelbagai peristiwa berlaku disebabkan perbuatan Tumulak dalam usahanya menghuru-harakan kumpulan kongsi gelap itu. ASP Shariff yang ditugaskan membanteras pergerakan kongsi gelap ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usahanya. Dia juga diugut apabila anak dan isterinya diculik. Jalan filem ini memang bagus dari segi lakonan para pelakon dan jalan ceritanya walaupun watak watak polis agak hambar sedikit jika dibandingkan dengan watak utama iaitu Tumulak... hehehe pada mulanya aku fikir Tumulak ini sememangnya pembunuh upahan yang memang high class tetapi agak kelakar kerana rahsia Tumulak yang sebenar iaitu tidak tahu menggunakan senjata api amat menggelikan hati aku dan suami....
Assalamualaikum,
Tadi office aku ada membuat jamuan untuk meraikan Ainon yang akan berpindah minggu depan...Pada masa itu, aku dan boss telah pun membeli makanan tengahari dan kami serba salah untuk pergi..Akhirnya kami buat keputusan untuk pergi ke majlis itu bagi menjaga hati cawangan pentadbiran.... Aku cuma ambil sedikit saja nasi kerana aku mahu makan apa yang aku beli sekejap tadi.... Bau tempoyak sudah menusuk dalam rongga hidung aku......Petang ini aku ingat untuk ke pasaraya Giant dan kedai cenderamata untuk membeli hadiah Ainon.... Aku mahu beli ikan salmon dan akhirnya aku dapat beli ikan salmon yang aku impikan... Manakalah hadiah Ainon itu aku belikan lampu tidur untuk Ainon dan aku harap dia akan gembira menerima hadiah tersebut.... Satu lagi aku membeli belah iaitu Takashima....heheheh kebetulan ada offer dari Takashima....
Subscribe to:
Posts (Atom)
Social Icons