Diari harian

Friday, August 05, 2011

Hari Jumaat, penghulu segala hari... Hari Jumaat juga kita telah berpuasa selama 5 hari dan Al-Hamdulillah aku masih dapat berpuasa lagi dan diberi peluang untuk bernafas sekali lagi... Syukur aku pada Allah SWT kerana memberi peluang kepada aku untuk melakukan ibadah puasa dengan penuh kenikmatan... Cuaca pada hari ini adalah kadang-kadang mendung dan kadang-kadang cerah tetapi di dalam office aku ini sejuk beku rasanya.... Masa berlalu dengan begitu pantas sekali dan kita sudah hampir seminggu berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak...  Tahun ini merupakan tahun yang seronok bagi aku kerana pada tahun ini aku akan beraya di kampung halaman aku di Kuala Terengganu dan adik perempuan aku yang belajar di Mesir akan menamatkan pengajian pada tahun ini dan dijangka balik ke Malaysia sebelum raya... Aku mula terbayangkan nasi dagang Terengganu hasil dari air tangan ummie dan aku berasa terliur dengan keenakkan nasi minyak di pagi hari raya.... Aku masih teringat lagi tentang kemeriahan raya di zaman kecil aku, masih terasa lagi dengan bunyi dentuman meriam buluh dan mercun di pagi sahur dan kemeriahan rumah aku dengan nyalaan bunga api... Kemudian pada malam raya, aku dan adik-adik lelaki akan sibuk mengemas rumah dan menggantung langsir-langsir baru hasil jahitan ummie yang saban tahun akan bertukar wajah.... Manakala adik-adik perempuan aku akan sibuk mengisi kuih raya di dalam balang kuih dan disusun di atas meja...Ummie pula masih sibuk menjahit baju raya sehingga pagi raya menjelang tiba... Pada pagi raya aku ditugaskan untuk menggosok baju raya adik-adik dan kemudian menggoreng ketupat daun palas pemberian abah pada seminggu sebelum raya.. Masa itu, kedengaran riuh rendah bunyi suara ummie pada adik-adik supaya cepat-cepat mandi dan bersiap ke masjid..... Masa arwah Habib dan arwah Babah ada di dunia ini, kami akan bersolat di surau dekat rumah arwah Habib yang jaraknya cuma 2 langkah sahaja dari rumah... Selesai bersolat hari raya, kami akan beratur bersama-sama dengan sepupu kami untuk bersalam-salaman dengan ibu dan bapa saudara kami... Duit raya? sudah tentu kami dapat duit raya dan itulah impian semua kanak-kanak di sini... Selepas itu, kami akan menjamu selera dengan hidangan juadah yang lazat dan enak, antaranya hidangan wajib orang Terengganu, nasi dagang atau nasi minyak, satey ayam dan daging, kuih muih, ketupat daun palas dan tapai nasi... Setelah itu, kami akan bergerak secara berkumpulan untuk pergi ke rumah sanak saudara kami yang terdekat di Kuala Terengganu... Begitulah kemeriahan raya di zaman kecil aku....



1 comment

  1. Sini popular dengan lemang dan rendang.
    Manakala kampung belah abah pula ketupat.
    Kenangan masa kecil memang tidak akan dilupakan.

    ReplyDelete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧