Assalamualaikum,
Hari ini adalah hari terakhir untuk bulan November dan esok kita akan memasuki era bulan Disember...Cepat betul masa berlalu, bukankah begitu? Sebagaimana lumrah alam, usia kita pun semakin meningkat dan dunia semakin tua..... Aku berasa amat bersyukur kerana masih dapat bernafas dan masih diberi kesihatan yang baik dari Allah... Kadang-kadang aku tertanya sendirian, kenapa manusia mudah melupakan Allah bila mereka senang? Kenapa manusia begitu kejam ke atas manusia yang lain, apakah mereka tidak takut akan hukuman Allah? Bila dunia semakin maju dan canggih, manusia pula semakin ketinggalan dari segi peradaban manusia dan sifat perikemanusiaan pula semakin hilang di dalam diri manusia yang membuat noda dan dosa.... Aku pun manusia biasa, selalu membuat kesilapan dan dosa tetapi bila difikirkan semula akan hukuman Allah,aku terasa amat takut pula....Seandainya Allah tidak memberi hukuman kepada manusia (termasuk aku) pada masa dan hari ini, mungkin esok atau lusa atau semasa kita berada di akhirat nanti tentu Allah akan memberi hukuman... Pada masa itu, manusia akan terfikir apakah nasib mereka kelak.... Aku berdoa agar Allah sentiasa membuka pintu hati aku untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah dan meninggalkan apa yang dilarang.... Al-Hamdulillah, hari ini genap 2 hari aku melakukan ibadah puasa ganti dan Insya Allah aku akan menyambung kembali pada hari esok... Hari ini aku balik ke rumah agak lambat sedikit dan petang tadi aku sempat singgah di kedai mini yang baru dibuka di Kota Warisan untuk membeli telur dan air yogurt kesukaan hubby.... Sebenarnya banyak makanan dan minuman yang dia tidak pernah makan pun sekarang ini sudah menjadi kegemaran dia.... Kemudian, sampai di rumah,setelah selesai solat Maghrib, aku panaskan lauk dan masak nasi untuk hidangan buka puasa...Waktu Maghrib hari ini adalah awal dan aku sempat berbuka dengan meminum air yogurt yang dibeli, 3 biji kismis serta 2 biji kurma.... hubby pun turut sama ingin makan bersama dengan aku, katanya tidak seronok untuk makan seorang diri tanpa aku di sisi...hehehe hubby memang romantis dan sambil makan kami berbual-bual tentang kerja masing-masing...Selesai makan dan berehat sebentar, aku pun terus bergegas untuk mandi dan bila selesai mandi, aku terdengar suara azan Isya'... Aku pun mengambil air wuduk untuk melakukan solat Isya' dan setelah selesai solat, aku membaca ayat suci Al-Quran, surah Yassin.... Setelah membaca ayat suci Al-Quran, aku terus mengambil pakaian kerja untuk digosok bersama dengan pakaian kerja hubby.... Dan bila selesai semuanya, barulah aku dapat membuka internet sekejap untuk melihat carta pergerakan pengunjung blog perpustakaan aku.... hehehe...
-----------> Itulah coretan untuk aku hari ini...aku harap Insya Allah kita akan jumpa lagi esok... Salam sayang buat semua sahabat.....Tata...
Assalamualaikum,
Sejuk betul rasa hari ini... Hujan masih turun dengan lebat dan sesuai pada masa sekarang, musim tengkujuh telah melanda... Di dalam berita mengatakan negeri Kelantan dan Terengganu sudah mula banjir di kawasan rendah dan aku berharap agar rumah aku di kampung tidak dinaiki air... Kasihan pada ahli keluarga aku kerana terpaksa mengangkut barang-barang di dalam rumah sekiranya rumah kami dinaiki air... huhuhu... Hari ini aku telah berpuasa ganti di bulan Ramadhan yang lepas... Aku telah meninggalkan puasa di bulan Ramadhan selama 6 hari dan hari ini genap 2 hari aku berpuasa kerana aku sempat menggantikan puasa 1 hari di bulan yang lepas, selepas itu "bulan merah" pun muncul dan aku tidak sempat untuk melakukan ibadah ini... Kemudian dengan kepulangan aku di kampung membuatkan aku tidak dapat melaksanakan ibadah ini dan Al-Hamdulillah hari ini aku dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna sekali... Cepat betul masa berlalu... Sedar atau tidak tinggal hari esok sahaja lagi kita akan tinggal di dalam bulan November dan lusa bermula era bulan Disember... Kalau di negara Barat di sana, sudah pasti pada masa ini musim sejuk telah melanda di negara-negara beriklim sejuk... Sebut pada iklim sejuk, aku baru teringat yang sudah lama aku tidak makan ikan salmon, terasa rindu pula akan keenakan ikan salmon itu... Biasanya aku membuat sup ikan salmon kerana ianya lebih sedap jika dibandingkan dengan goreng atau panggang... Hubby pun menyukai ikan salmon tersebut dan kadang-kadang ada juga dia bertanya sama ada aku memasak ikan salmon atau tidak... Sebenarnya aku baru bangun dari tidur kerana aku mengalami sakit belakang...Macam-macam badan aku ini membuat hal, hari itu kepala aku pening bagai hendak pecah, hari ini belakang aku pula mengalami kesakitan, seolah-olah tulang belakang aku terasa mahu patah....mungkin disebabkan aku terlalu lama duduk di atas kerusi menyebabkan belakang aku sakit....Selepas aku solat Maghrib, aku meminta hubby meletakkan minyak panas dan mengurut belakang aku...Kemudian lepas itu aku terlelap dan aku cuma tersedar bila hubby menggerakkan aku untuk solat Isya'... Okey, aku mahu tidur dulu dan Insya Allah kita akan jumpa lagi....Tata.,...
Assalamualaikum,
Malam ini aku terasa amat sejuk sekali kerana hujan telah turun dengan lebat dari petang tadi... Keadaan pada waktu petang tadi seolah-olah malam sudah berlabuh walhal pada masa itu jam menunjukkan pukul 3.30 petang dan memaksa kami memasang lampu di dalam rumah akibat terlalu gelap... Semalam aku minta maaf kerana tidak sempat untuk mengemaskini blog ini, kerana semalam penyakit migrain aku telah datang menyerang dan aku terpaksa tidur seharian di dalam gelap kerana tidak tahan dengan silauan waktu siang... Lagipun pada masa itu aku baru sahaja selesai memotong ayam dan sotong,membasuh udang dan tulang lembu.... Cuma pada masa itu aku cuma perlu menyimpan di dalam bekasnya sahaja akan tetapi migrain aku datang mengejut sahaja...Sudah agak lama aku tidak mendapat migrain dan mungkin disebabkan aku terlalu banyak berfikir tentang masalah-masalah duni ini yang menyebabkan penyakit aku ini datang menyerang.... Nasib baik pada pagi itu,aku sudah membeli sarapan selepas selesai membeli barang-barang basah seperti ayam, sotong, udang, tulang lembu dan sayur-sayuran...Aku membeli nasi tomato untuk diri aku manakala hubby pula aku belikan nasi lemak ayam.... Dan nasib baik hubby memahami dengan keadaan diri aku... Kemudian bila aku bangun dari tidur, penyakit migrain aku mula berkurangan dan aku menyambung kerja-kerja terbengkalai tadi... Okey, Insya Allah kita akan jumpa lagi....Aku terasa penat sangat mungkin gara-gara makan ubat migrain tadi....Selamat malam semua....
Assalamualaikum...
Sempena dengan Tahun Baru Hijrah ini, aku ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1433H bersamaan 2011 Masihi... Hari ini juga Al-Hamdulillah kerana cuaca pada hari ini agak baik dan akhirnya aku dapat membasuh semua pakaian kami termasuk pakaian kerja kami... Tetapi aku tidak dapat bercerita panjang tentang apa yang berlaku pada hari ini dan aku perlu beredar kerana aku perlu membersihkan kotoran dan menyiang ikan serta barang-barang basah yang lain... Insya Allah esok aku akan bercerita tentang apa yang berlaku hari ini,..... -----> Tata...
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual berangkat menyempurnakan perasmian sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat kebangsaan yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah", Ahad ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam satu kenyataan di sini Jumaat, berkata Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut dijadual berangkat ke majlis yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.
Majlis juga dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta anggota Kabinet dan duta luar negara.
Tema "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" itu selaras dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat bersatu padu, bekerjasama serta saling memahami dan menerima antara satu sama lain atas dasar akidah supaya matlamat negara maju menjelang 2020 dapat direalisasikan, kata kenyataan itu.
Sebanyak 122 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan menyertai perhimpunan itu yang membabitkan 4,500 penyertaan, kata kenyataan itu.
Pada majlis itu, dua individu akan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Tokoh Peringkat Antarabangsa yang masing-masing akan menerima wang tunai RM100,000, plak, pingat dan sijil penghargaan.
Sambutan Maal Hijrah kali ini juga akan dipenuhi pelbagai program termasuk Forum Perdana Khas Maal Hijrah yang membincangkan tajuk "Luruskan Saf", serta majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara esok.- BERNAMA
Assalamualaikum,
Al-Hamdulillah, Allah telah mendengar dan memakbulkan permintaan aku... Hari ini aku dapat membasuh pakaian kami dan pada hari esok akan ada satu lagi trip membasuh pakaian... Aku berdoa agar hari esok tidak akan hujan dan jikalau takdir telah hujan, biarlah hujan itu turun pada waktu petang.... Hari ini juga aku dan hubby telah pergi ke pusat membeli belah untuk membeli keperluan harian kami serta barang-barang dapur... Memandangkan hari ini adalah hari tanpa plastik, so kami sudah merancang untuk membawa beg kain yang besar untuk mengisi barang-barang belian kami... Memang banyak juga kami membeli dan hari esok kami akan ke pasar pagi untuk membeli barang-barang basah pula... So jadual aku pada hari ini agak padat juga...begitu juga dengan hubby aku... Dia sedang sibuk membeli dan membaiki lampu isyarat kereta yang tercabut baru-baru ini... Kami tidak tahu dekat mana lampu isyarat kereta itu tercabut, mungkin semasa kami mahu pulang ke rumah dari Terengganu...Selepas kami membeli belah, kami singgah sebentar ke restoran makanan untuk membeli makan malam kerana aku sudah tidak larat lagi untuk memasak...Tambahan pula barang-barang basah seperti ikan dan ayam sudah kehabisan stok dan esok baru kami hendak pergi membeli di pasar pagi... So kami fikir kami cuma akan membungkus sahaja makanan itu..... Okey, aku ingin menyambung kembali kerja-kerja yang terbengkalai....Kita jumpa lagi esok, Insya Allah... Tata...
Assalamualaikum,
Semalam gaji bulanan sudah masuk ke dalam akaun dan aku sudah pun membuat bayaran bil-bil yang sebagaimana biasa yang aku lakukan pada setiap hujung bulan.... Hari Jumaat, penghulu segala hari... Hari ini juga adalah hari terakhir untuk minggu bekerja dan pada hari Ahad ini, bermula tahun baru dalam kalendar Islam iaitu 1 Muharram 1433H.... Mungkin pada masa itu, ramai di kalangan kita semua akan melangsungkan perkahwinan, sempena dengan tarikh bersejarah itu...Bulan November akan digantikan dengan bulan Disember dan kemudian kita akan memasuki tahun baru iaitu tahun 2012... Oh ya! Sekarang ini hujan turun dengan begitu lebat sekali dan aku harap dan berdoa agar pada hari esok hujan tidak akan turun di waktu pagi kerana aku perlu membuat rutin mingguan aku, apa lagi jikalau tidak membasuh pakaian... Petang tadi hujan turun dengan begitu lebat sekali dan diikuti dengan guruh dan petir... Memang rasa bergegar bangunan ini sekejap, gara-gara bunyi guruh berdentum dengan kuat... Jikalau ummie ada di sini, sudah tentu dia akan menyuruh aku menutup segala peralatan elektrik, takut meletup dan terbakar.... hehehe... hari ini aku dan sahabat membeli makanan tengahari di Alamanda, Putrajaya... hehehe...Mana lagi kami mahu pergi...Pada hari biasa kami akan membeli makanan di medan selera Teja di Presint 9 tetapi memandangkan hari ini hari Jumaat dan waktu rehat kakitangan pula agak panjang, kami tidak dapat pergi ke sana...Memandangkan lot parking telah penuh dan banyak lauk sudah habis, kami sememangnya pergi ke Alamanda, Putrajaya kerana di sana memang terdapat banyak pilihan untuk makan tengahari...Lagipun sahabat aku ini ingin membayar bil broadband yang tertunggak.... Okey, aku mahu tidur dulu...Insya Allah kita akan jumpa lagi esok,jikalau Allah memanjangkan umur aku lagi... Tata..
Selamat malam semua.... Baca doa tidur dahulu sebelum anda lelapkan mata dan ucap dua kalimah syahadah sebelum tidur.....
Cuaca pada hari ini amat gelap petanda hujan dan akhirnya ianya turun dengan lebatnya pada pukul 6.30 petang sehingga kini.... Okey, sambung cerita semalam... Setelah aku membuat solat istikharah dan berdoa seandainya ada orang datang merisik aku pada bulan Disember pada tahun 2006, aku akan menerima orang itu, dan seandainya tiada apa-apa berlaku, aku akan menerima sesiapa sahaja yang merisik... Akhirnya Allah memakbulkan permintaan aku,pada bulan Disember aku telah disahkan menjadi tunang kepada hubby... Pada pertemuan pertama kali kami berjumpa di KL Sentral bersama-sama dengan kawan baik aku yang juga menjadi jurucakap bagi pihak aku... Kawan baik aku ini bertanya banyak soalan sehingga hubby berasa tidak selesa lalu aku menyuruh kawan baik aku ini berhenti bertanya banyak soalan... hehehe kasihan aku melihat pada hubby kerana pada pertemuan kali pertama, dia sudah diaju banyak soalan.... Kemudian, pada bulan April 2007, aku mendapat surat pertukaran tempat kerja yang pada ketika itu aku bekerja di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan ditukarkan ke Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia... Aku meminta pertolongan hubby untuk mendapatkan rumah sewa dan menjadi tunjuk arah jalan untuk ke tempat kerja baru.... Kemudian, pada bulan Mei 2007, aku telah disahkan menjadi salah seorang anggota keluarga bomba... Walaupun kami duduk berdekatan tetapi kami jarang berjumpa lantaran tuntutan kerjaya masing-masing... Sesekali hubby membawa aku pulang ke kampung halaman dia untuk berjumpa dengan bakal ibu mertua aku... hehehe... Sesekali kami juga pernah makan malam bersama-sama di Putrajaya, dan sesekali makan tengahari berhampiran kawasan perumahan kami... Masa itu persiapan untuk perkahwinan kami sedang rancak dijalankan di kampung halaman masing-masing dan keluarga aku juga tidak ketinggalan untuk membuat persiapan... Saat-saat manis telah ditunggu, tepat jam 9.30 malam, pada 25hb Ogos 2007 bersamaan 12 Syaaban 1428H, aku telah sah menjadi isteri kepada hubby tercinta, Mohd Nazeri Bin Md. Nor... Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu tentang perasaan aku betapa bahagia rasa di hati ini takala hubby melafazkan akad nikah dan telah sah menjadi hubby aku.... Terima kasih wahai hubby yang aku cintai kerana menerima diri ini sebagai isteri kamu... Bulan depan genap 5 tahun ulangtahun pertunangan kami, aku fikir hendak buat party suprise untuk kami bagi meraikan hari ulangtahun pertunangan kami... Itu adalah sedikit sebanyak cerita tentang bagaimana pertemuan kami dan Al-Hamdulillah hubungan kami kekal hingga kini walaupun sesekali kami bergaduh... Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit apa pula suami isteri... hehehe... Cinta kami adalah cinta internet dan sejak dari itu aku masih lagi menatap emel pertama hubby yang dihantar kepada aku... Kadang kala geli juga di hati ini kerana tidak menyangka aku akan bertemu jodoh di dalam internet ------->
Okey, setakat ini dulu coretan aku, Insya Allah aku akan bercerita tentang kisah alam persekolahan aku di lain masa... Seandainya nyawa aku ada lagi pada hari esok, kita akan jumpa lagi, Insya Allah... Tata...
Syukur Al-Hamdulillah kerana aku masih diberi peluang untuk bernafas di bumi Allah ini... Aku juga amat bersyukur kerana diberi kehidupan yang selesa dan bahagia walaupun kadang kala kedukaan melanda diri aku...Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepada hamba Mu ini untuk menikmati keindahan dan keagungan ciptaan Mu... Malam ini hujan turun dengan begitu lebat dan sesekali kedengaran bunyi guruh dan kilat sambar menyambar di luar sana... Nasib baik hubby tidak bekerja malam ini, kasihan dia jika terpaksa bekerja malam jikalau hujan sebegini lebat... Apabila aku menawarkan untuk hantar, hubby kata tidak perlu hantar dia sebab bila dia hendak balik pada esok pagi agak susah memandangkan dia habis kerja pada pukul 6.00 pagi... Katanya lagi dia tidak mahu menyusahkan aku untuk bangun pagi dan mengambil dia di tempat kerja...
Inilah kesayangan aku... hehe walaupun dahulu aku tidak gemar pada lelaki yang bermisai tetapi jodoh dan pertemuan di tangan Allah... Masih teringat tentang pertemuan pertama kali dan hubby... Kami mula berkenalan di laman internet, aku yang sememangnya memang suka mencari sahabat pena sama ada dari dalam negara atau luar negara, bak kata orang, ramai kawan, banyak pengetahun kita dapat... Aku pernah masuk dalam satu laman web berkenaan dengan rakan, pada masa itu aku sudah mengenali laman facebook... Kemudian aku mendapat satu emel yang mengatakan dia ingin berkawan dengan aku...Seperti kebiasaan, aku membalas emel itu dengan senang hati dan dengan harapan aku mendapat pengetahuan lagi tentang dunia sekarang... Selang bebarapa hari dia membalas emel dan dia mengucapkan terima kasih kerana aku membalas emel dia,lalu diminta nombor telefon supaya senang untuk dihubungi... Aku pun memberi nombor telefon aku dan menganggap dia sebagai sahabat baru... Kemudian, sejak dari itu, kami terus berhubung melalui telefon dan kami berbicara tentang banyak benda terutamanya pasal ikan... hehe.. Yea.. Hubby selalu ceritakan pasal ikan yang dibela oleh dia dan kadang-kadang aku terasa geli hati bila mengenangkan semua itu.. Satu hari, hubby menelefon aku sewaktu aku hendak pulang dari sebuah majlis konvo di Hulu Langat, Selangor...Masa itu aku dalam perjalanan pulang ke Terengganu bersama-sama dengan rakan sekerja dan hubby menelefon aku dan menyatakan hasratnya untuk mengambil aku sebagai isteri dia...Pada mulanya aku tidak percaya sangat dengan kata-kata hubby, maklum sahaja aku baru sahaja putus cinta dengan seorang lelaki Pasir Gudang...Lalu aku berkata dengan hubby supaya nyatakan hasrat hati dia pada ummie dan jikalau ummie bersetuju, aku akan menerima dia... Aku membuat solat istikharah dan minta petunjuk dari Allah, selama 40 hari 40 malam...
Macam mana kisah seterusnya ----------> Tunggu hari esok...hehe.. Okey, aku mahu tidur kerana hari pun sudah hampir ke penghujung....Selamat malam rakan-rakan...
Assalamualaikum,
Aku minta maaf kerana beberapa hari ini aku tidak dapat mengemaskini entri blog kerana pelbagai aktiviti telah dijalankan di sana... Al-Hamdulillah kami selamat sampai ke rumahku syurgaku ini pada jam 3.30 petang dan sebaik sahaja kami sampai di rumah, aku mendapati rumah aku telah kehilangan bekalan elektrik akibat panahan petir... Huhuhu... Kasihan aku kerana terpaksa membasuh peti ais yang menempatkan daging korban yang aku dapat baru-baru ini...Habis semua makanan di dalam peti ais membusuk dan berulat serta berkulat... Sebaik sahaja aku menukar pakaian aku, terus sahaja masuk ke dapur untuk membasuh semua peralatan peti ais yang membusuk, nasib baik kami membeli makanan dan aku tidak perlu memasak.... Hubby pula aku suruh makan terlebih dahulu kerana aku perlu menyiapkan segala kerja sebelum menjelang malam... Akhirnya pada jam 6.30 petang, aku selesai membasuh dan mengemas pakaian yang kotor dan baru ke tempat asal... Pakaian kami yang telah dipakai akan aku basuh pada esok hari dan aku harap semoga hari esok akan mengalami cuaca cerah... Insya Allah...
Al-Hamdulillah, akhirnya selesai juga majlis perkahwinan kedua-dua adik aku dan malam ini aku terpaksa bermalam di hospital kerana adik perempuan bongsu aku telah pengsan akibat terlalu letih dan mengalami sakit belakang yang serius... Sebelum ini dia pernah terjatuh di dalam bilik air dan mendapat rawatan doktor pakar...Oleh kerana terlalu banyak sangat kerja yang dilakukan menyebabkan sakit belakang itu selalu terjadi... Aku bersama-sama dengan hubby dan adik lelaki aku pergi ke bahagian kecemasan untuk mendapatkan rawatan... Nasib baik doktor melepaskan adik perempuan bongsu aku keluar awal setelah mendapat rawatan... Nasib baik juga jantung aku tidak terhenti bila bila keadaan adik perempuan bongsu aku yang mengalami kesakitan yang Allah sahaja tahu... Aku pun sejak pagi tadi telah mengalami demam kerana selalu terkena air hujan... Okey, aku akan memuat turun gambar perkahwinan adik perempuan aku...
Pengantin bersama dengan Ummie dan saudara mara |
"SELAMAT PENGANTIN BARU" |
Hantaran dari pihak kami |
Pelamin |
Adik beradik... |
Al-Hamdulillah, segala puji bagi Allah, akhirnya adik lelaki aku selamat diijabkabul dengan pasangan dia, semoga mereka akan kekal selamanya sampai ke anak cucu.. Kami memberi hantaran sebanyak 7 dulang dan mereka membalas dengan hantaran 7 dulang juga... Al-Hamdulillah selesai sudah untuk majlis ini dan majlis menyambut menantu pula akan sama tarikh dengan adik perempuan aku berkahwin... So, sebaik sahaja majlis di pihak perempuan selesai, kami bergegas pulang ke rumah kerana ada banyak perlu kerja yang perlu diselesaikan... Ini adalah kerana persiapan untuk majlis perkahwinan adik perempuan aku akan berlangsung pada hari Ahad ini, jadi ada banyak kerja yang perlu kami lakukan... Aku bersama dengan ummie akan keluar untuk membeli barang-barang keperluan untuk memasak, manakala hubby pula bersama dengan adik lelaki aku akan menyusun meja dan kerusi serta membasuh semua pinggan mangkuk serta gelas untuk hidangan tetamu nanti... Letih menguasai badan kami ketika ini dan kami bersyukur kerana ada saudara mara yang sanggup membantu kami untuk mengemas serta memasak.. Okey, seperti yang dijanji semalam, aku akan memuat turun gambar-gambar perkahwinan adik lelaki aku....
Gambar pengantin bersama family |
Hantaran dari pihak kami |
Hantaran dari pihak perempuan |
Kek perkahwinan |
Pelamin |
"SELAMAT PENGANTIN BARU" |
Assalamualaikum,
Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai di rumah yang tersayang... hehehe terasa rindu pula aku pada kucing-kucing aku...Sebaik sahaja aku membuka pintu dapur, meluru mereka untuk meminta makanan, seolah-olah mereka tidak makan selama 1 bulan padahal aku sememangnya menyediakan makanan untuk mereka semasa ketiadaan kami di rumah...aku tidak tahu macam mana keadaan mereka sewaktu aku balik kampung aku nanti... Tidak mengapa, aku akan meminta pertolongan jiran aku untuk memberi makan, walaupun kadang kala aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka... hehehe hendak di bawa balik aku bimbang kerana di rumah keluarga aku pun ada membela kucing, mesti akan bergaduh jikalau mereka bertemu...Maklumlah kucing asing masuk ke dalam kawasan kucing keluarga, lagak macam gangster saja...hehehe....Kami sampai di rumah pada pukul 12.30 tengahari dan aku sempat membasuh sebahagian pakaian kami yang hampir satu bakul penuh... Itu baru 3 hari 2 malam saja, belum lagi selama seminggu ini... Aku akan mula bekerja esok dan boss pun masih lagi bercuti, jadi aku akan bekerja seorang diri... Esok office aku akan diadakan jamuan hari raya korban dan dijangka 2 ekor lembu akan disembelih... Kalau ada rezeki, aku akan mendapat daging lembu dan sedikit lauk untuk dibawa pulang... Insya Allah.. Okey, kawan-kawan, aku perlu beredar sekarang kerana aku mahu menggosok pakaian kerja kami, hubby aku sekarang ini tengah sibuk melayan filem Raya Tak Jadi dan filem Libas.... Insya Allah kita akan jumpa lagi esok....Tata...
Di hari yang mulia ini, aku ingin mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA" kepada semua umat Islam di seluruh dunia... Semoga dengan pengertian pengorbanan ini kita akan menjadi insan dan hamba Allah yang dirahmati... Minta pertolongan dari Allah dan Insya Allah akan dimakbulkan oleh Allah SWT... Pagi tadi aku dan keluarga melakukan solat sunat Aidiladha di masjid dan Al-Hamdulillah semuanya berjalan dengan lancar... Anak saudara perempuan aku pula sibuk bertanya pelbagai soalan yang agak memeningkan tetapi aku suka melayan karenah dia... hehehe... Di hari yang bahagia ini kami akan membuat hidangan nasi himpit bersama dengan rendang ayam dan rendang daging, satey ayam dan kuah kacang....Kemudian, hujan rahmat pun turun dengan renyai-renyai sewaktu kami sedang solat sunat hari raya, tetapi nasib baik hujan hanya sekejap... Aku dan hubby memakai pakaian hari raya, warna hijau.... hehe sedondon dan sehati sejiwa.... Sampai sahaja di rumah, aku menanggalkan pakaian solat dan bersiap-siap untuk ke dapur menolong ibu mertua aku memasak... Pertama kali aku membuat satey ayam dan aku juga berpeluang untuk membuat satey ayam, biasanya aku hanya membeli satey ayam di kedai sahaja.... Adik ipar lelaki aku pula ditugaskan untuk membakar satey tersebut manakala hubby kembali menjadi mekanik kerana mesin basuh rumah telah rosak dan perlu diperbaiki... Nasib baik aku ada mengemas seluar pendek untuk hubby supaya senang membuat kerja... Pada waktu malam, bapa mertua aku telah membawa balik daging korban untuk dibuat lauk... Memang sedap dan manis sekali daging lembu yang dikorban... Okey, setakat ini dahulu...Insya Allah jumpa lagi...
Assalamualaikum,
Aku ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang membaca entri ini.. Kalian tidak jemu untuk membaca entri aku ini walhal aku cuma menceritakan tentang kehidupan aku... Maklum sahaja, aku memang suka menulis diari tetapi sekarang ini aku sudah agak malas untuk menulis diari... Kecanggihan teknologi telah memperkenalkan aku kepada dunia blogger dan aku menjadikan blog ini sebagai E-Diari aku... hehehe... Aku juga sudah mencapai sasaran untuk menjadikan rumah aku sebagai perpustakaan mini dan aku ingin membuat katalog untuk buku-buku aku itu... Tinggal dua hari sahaja lagi umat Islam di seluruh dunia akan meraikan Hari Raya Aidiladha, dan aku rasa minggu depan aku cuma akan bekerja selama 2 hari sahaja lantaran aku mengambil cuti rehat untuk pulang ke kampung halaman aku... Sekarang ini aku sedang menonton filem Cina Storm Rider di TV2... Walaupun aku mempunyai VCD filem ini, tetapi aku sememangnya suka mengulang filem tersebut, dan aku memang minat pada pelakon-pelakon filem tersebut, seperti Ekin Cheng, Aaron Kwok dan Michael Tse.... Mereka memang kacak walaupun dunia sekarang telah dilanda K-Pop... hehehe.... Hari ini aku tinggal keseorangan kerana hubby kerja malam dan hanya akan balik pada petang esok... Aku sudah biasa dengan keadaan ini dan aku tidak berasa gerun untuk tinggal seorang diri... Walaupun ummie aku sentiasa pesan supaya aku menjaga diri dan aku akan ingat sentiasa pesanan ummie.... huaarrgghhh.... Okey kawan-kawan, aku sudah mengantuk dan esok adalah hari terakhir bekerja untuk minggu ini... Aku akan kembali bekerja pada hari Selasa minggu depan... Jumpa lagi nanti, Insya Allah...Assalamualaikum,
Penat rasanya hari ini kerana kerja katalog buku sememangnya banyak dan memenatkan mata.. Aku menghadap komputer selama 3 jam tanpa henti menyebabkan mata aku jadi pinar dan penat... Aku harap tahun depan semua kerja katalog ini akan siap sepenuhnya dan membolehkan aku membuat kerja yang lain pula...Cuaca pula sudah memasuki musim hujan atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh... Biasanya pada musim ini, negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami banjir yang teruk, tetapi ada juga negeri-negeri lain akan mengalami fenomena yang sama... Mereka sekarang ini telah bersiap sedia untuk menghadapi banjir... Tambahan pula, sekarang ini, negara Thailand dan Vietnam telah mengalami banjir dan ini memburukkan lagi keadaan... Sewaktu aku menulis entri ini, hujan telah turun dengan lebatnya dan pada pukul 5.30 petang awan gelap telah menyelubungi langit dan ianya seperti waktu malam, petanda hujan akan turun dengan lebatnya... Aku teringat semasa aku masih kecil dulu, aku selalu mandi air hujan dan ianya amat menyegarkan badan... Kadang-kadang sewaktu aku pulang dari sekolah, aku selalu mandi air hujan kerana ingin cepat sampai ke rumah... Masih tergiang-ngiang lagi di telinga aku bunyi air berkocak di dalam kasut aku... berdecap-decip bunyinya... Hujan sebenarnya membawa rahmat kepada kita walaupun kadang kala kita nampak hujan seperti kejam dengan alam semulajadi... Tetapi hujan sebenarnya bagus untuk tanaman dan seisi alam dunia ini... okey, kawan-kawan, aku mahu tutup komputer dan internet kerana mata aku sudah mengantuk... Selamat malam dan semoga mendapat mimpi yang indah... Insya Allah kita jumpa lagi esok....
Hari ini adalah hari lahir adik lelaki aku, dan aku ingin mengucapkan ' Selamat Hari Lahir' untuk adik Naim yang tersayang..Semoga Allah akan merahmati kehidupan kamu dan sentiasa sihat... Semoga Allah melindungi, merahmati dan memberkati kehidupan kamu... Amin...
Walaupun kakak kamu ini duduk jauh di perantauan, tetapi kakak akan sentiasa ingat tentang hari kelahiran keluarga kakak... Okey, sekarang ini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan pada semua jemaah Haji, semoga anda semua akan mendapat keberkatan dari Allah dan semoga anda mendapat haji mabrur, Insya Allah... Tahun ini aku akan beraya di rumah keluarga hubby dan kami dijangka akan pulang ke kampung pada petang Sabtu ini... Ini adalah kerana Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari Ahad dan kami perlu bersiap untuk meraikan hari kebesaran Islam ini... Aku akan menceritakan tentang Hari Raya Aidiladha dan sumber ini adalah daripada Wikipedia....
Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضØÙ‰ 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji
merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia
adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut
pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah
setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah,
diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10
Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan
samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah
ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah
kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah
merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan
isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum
berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling
cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi
hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya
sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir
pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding
solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat
Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan
korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah
bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat
menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke
masjid.
Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya
makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang
berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu,
kambing, dan biri-biri yang dikorbankan
akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum
dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada
golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran
tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini
memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai
korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong
melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai
pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada
yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang
disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.
Hari Raya Aidiladha dalam hadis
- Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)
- Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
- Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
- Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a:
Subscribe to:
Posts (Atom)
Social Icons