Assalamualaikum wbt..
Jom kita ikuti perjalanan perkembangan bayi dari mula-mula bayi kita dibentuk sehinggalah saat melahirkan..
Pada usia kehamilan kita seminggu
iaitu setelah 8 hari selepas proses persenyawaan berlaku, blastocyst
(kini mengandungi 200 sel) merembeskan mukus untuk memberitahu
kehadirannya di dalam rahim.
Masuk minggu ke-2,
blastocyst menggelembung dan sel-sel mula berkembang dan terbahagi
kira-kira 2 kali sehari sehinggalah pada hari yang ke 12 jumlahnya telah
bertambah dan membantu blastocyst terpaut atau disauh dengan kukuh pada
endometrium.
Kemudian masuk minggu ke-3
selepas proses persenyawaan berlaku, saiz embrio terbentuk dan saiznya
hanyalah sepanjang 0.08 inci/2 mm. Gen janin mula hendak membentuk dalam
3 lapisan benih(sel) daripada organ badan yang akan bergabung.
Pada minggu ke-4 berikutnya, janin kita sudah mulai membentuk struktur asas
manusia dimana sel-sel mula bergabung dan pada masa itu embrio sudah
mulai memanjang kira-kira 1/4 inci / 6 mm.Pada masa ini sudah kelihatan
pembentukan otak dan tulang belakang serta anggota lain seperti jantung
yang mengepam darah ke paru-paru dan aorta (urat besar yang membawa
darah daripada jantung).
Embrio akan terus membesar sehingga pada minggu ke-5
didapati terdapat 3 lapisan iaitu ectoderm, mesoderm dan dan endoderm.
Ectoderm adalah lapisan yang paling atas. Ianya akan membentuk sistem
saraf pada janin tersebut yang seterusnya membentuk otak, tulang belakang, kulit serta rambut.
Manakala lapisan mesoderm pula yang berada pada lapisan tengah akan
membentuk organ penting yang asas iaitu jantung, buah pinggang, tulang
dan organ reproduktif.
Selain
itu, kita perlu tahu bahawa dalam pembentukkan janin ini, sistem
peredaran darah adalah yang pertama terbentuk dan berfungsi. Akhir
sekali ialah lapisan endoderm iaitu lapisan paling dalam yang akan
membentuk organ dalaman seperti usus, hati, pankreas dan pundi kencing. Kalau kita gambarkan saiz janin 6 mm itu hanyalah sebesar biji tembikai sahaja.
Pada minggu ke-6,
sekiranya pemeriksaan secara ultrasound dilakukan, kita akan dapat
melihat janin sudah membentuk kepada dan badan. Biasanya getaran
jantungnya juga sudah dapat dikesan.
Setelah usia janin minggu ke-7,
bentuk bayi semakin jelas terbentuk. Kepala bayi seolah-olah tertunduk
dan berada dalam cecair ~ air ketuban atau amnotic sac yang akan
memberikan keperluan tumbesaran bayi semasa dalam kandungan.
Untuk pengetahuan, pada usia kandungan kita minggu ke-8, rupa bayi sudah mulai terbentuk antaranya pembentukan lubang hidung, bibir, mulut serta lidah.
Matanya juga sudah kelihatan berada di bawah membran kulit yang nipis.
Pada masa ini juga anggota tangan serta kaki juga terbentuk walaupun
tidak berapa jelas lagi.
Saiz bayi pada usia minggu ke-9 hanyalah
sebesar sebiji anggur iaitu dalam saiz seinci. Pembentukan telinga
sudah kelihatan pada masa ini. Dan yang paling mengembirakan bagi bakal
ibu ialah pada saat inilah bayi kita sudah mulai mengerakkan anggota
badannya. (Sudah boleh menggerakkan jejari tangan manakala jejari kakinya masih bercantum).
Pada usianya masuk minggu ke-10,
bayi kita sudah kelihatan seperti manusia yang lengkap. Pada minggu
ini, payu dara puan akan sedikit membengkak kerana terdapat cecair
oestrogen dan progesterone sebagai persediaan untuk menyusukan bayi
kelak.
Pada usia
kehamilan minggu pertama - minggu ke 10, ibu yang hamil amat memerlukan
zat besi. Dengan zat besi tersebut ianya dapat membantu ibu hamil untuk
menghilangkan rasa loya, muntah-muntah serta alahan. Dengan zat besi
yang mudah hadam juga dapat membantu tumbesaran janin. Antara
sindromyang dapat dicegah atau dikurangkan dengan pengambilan zat besi
ini ialah dapat mencegah demam, batuk, selsema,sejuk-sejuk, sakit
kepala, sakit gigi dan lain-lain lagi. Paling penting ia juga turut
membantu melancarkan aliran darah dan mencegah daripada masalah urat
bersimpul di betis dan kaki serta menghilangkan letih dan lesu.
Pada usia kehamilan masuk minggu ke-11, bayi dalam kandungan akan mulai suatu proses pertumbuhan yang pesat dan mula mengangkat kepala ke atas jauh daripada dadanya. Alat kelamin
luar pula mula terbentuk tetapi masih kecil sehingga sukar untuk
melihat jantinanya samada lelaki atau perempuan semasa membuat imbasan.
Jadi menjelang minggu ke-12
iaitu usia kehamilan 3 bulan, kebanyakan wanita akan mula kelihatan
tanda-tanda fizikal tentang kehamilannya. Sekarang bayi akan membesar
dengan cepat. Saiz bayi dalam kandungan akan bertambah beberapa
milimeter setiap hari. Wajahnya juga semakin jelas.
Jari
jemari kaki dan tangan mula terbentuk termasuk telinga dan kelopak mata.
Berat bayi pada masa ini adalah kira-kira satu aun (28g) dan panjangnya
dalam 8 cm. Risiko keguguran
berkurangan pada minggu ke-12 kerana bayi semakin kukuh kedudukannya.
Pada masa ini bayi dah boleh menguap, menggeliat, memusing badan tetapi
kerana saiznya yang masih kecil kita tidak akan dapat merasakan sebarang
pergerakan.
Minggu ke-13,
kepala bayi membesar dengan lebih cepat daripada yang lain-lain.
Badannya juga semakin membesar untuk mengejar tumbesaran kepala. Berat
bayi kita kini boleh mencecah kira-kira 30g. Kuku kaki dan tangan juga
mula tumbuh. Pada masa ini puan mungkin akan mengalami perubahan ketara
akibat perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Sebagai contoh
rembesan minyak menyebabkan wajah kita berbintik-bintik. Kita perlu
banyak meminum air suam/masak serta membersihkan muka sekurang-kurangnya
2-3 kali sehari.
Masuk minggu ke-14 degupan
jantung bayi akan semakin kuat dan kita sudah boleh mendengarnya
melalui ujian imbasan. Lajunya adalah 2 kali ganda kelajuan jantung
kita. Pada masa ini bayi kelihatan kurus kerana belum terdapat lapisan
lemak. Kulitnya juga sangat nipis sehingga kita dapat melihat saluran
darahnya. Pada tahap ini juga biasanya ibu hamil akan mengalami masalah
sembelit kerana pergerakan usus cenderung diperlahankan semasa hamil.
Jadi elakkan daripada memakai pakaian yang ketat atau sendat agar
puan-puan berada dalam keadaan yang selesa.
Minggu seterusnya iaitu minggu ke-15,
bayi kita sudah mampu menggenggam tangannya dan menghisap ibu jari.
Kelopak matanya masih tertutup dan akan terus kekal sedemikian sehingga
minggu ke-26. Walaupun begitu bayi boleh mengetahui perubahan cahaya
ketika ini. Bayi kita juga sudah boleh menelan. Puan akan merasa
perubahan ketara kerana garis pinggang kita akan mengembang dan jantung
mula berdegup 20% lebih pantas kerana isipadu darah mengalir dalam badan
telah meningkat.
Jadi
banyakkan senaman ringkas atau puan juga boleh melakukan aktiviti
berenang untuk meringankan simptom kehamilan dan menyediakan stamina
manjadi lebih kuat ketika proses kelahiran kelak.
Minggu ke-16.
Kehamilan puan kini sudah hampir 4 bulan. Pada masa ini badan kita
perlu senantiasa sihat dan bertenaga. Bayi kita telah terbentuk
sepenuhnya dan perlu diberikan nutrien yang secukupnya oleh plasenta.
Bayi kita mula menerima nutrien dari plasenta sejak minggu ke-14. Kini
bayi dalam kandungan telah mempunyai tulang yang kuat dan dia juga sudah
boleh mendengar bunyi-bunyian untuk pertama kali.
Minggu ke-17, rambut, kening, bulu mata bayi kita mulai tumbuh sementara garis kulit pada hujung jari juga mula terbentuk. Antara keajaiban Allah s.w.t pada saat ini ialah bayi kita telah mempunyai cap carinya yang tersendiri.
Walaupun pada masa ini panjang bayi hanya kira-kira 16 cm sahaja iaitu
seperti sebatang pen. Puan mungkin akan alami sembelit akibat sistem
usus yang perlahan. Rahim kita pula akan semakin membesar dan menekan
pundi kencing. Jadi amalkan pada minggu ini, meminum lebih banyak air
masak dan memakan makanan berserat, jus buah-buahan serta sayur-sayuran
hijau.
Kini kita menyorot pula perkembangan pada minggu ke-18.
Walaupun matanya masih lagi tertutup, bayi dalam kandungan kita sudah
dapat mengenalpasti cahaya terang menerusi dinding rahim. Bayi kita
dapat mendengar degupan jantung kita pada masa ini. Bayi dalam kandungan
juga telah mula berbaring pada lelemak yang boleh memanaskan badannya.
Pengaliran
oestrogen dan progesterone semakin meningkat dalam badan semasa
kehamilan puan masuk minggu ke-18 ini. Ia bertujuan untuk melembutkan
serta membesarkan serviks untuk proses bersalin. Kesan yang sama pada
selaput mukus dihidung juga berlaku yang boleh menyebabkan berdarah.
Seterusnya kita mengikuti perkembangan minggu ke-19.
Bayi akan mula mengeluarkan bahan berwarna putih yang tebal dan berkrim
untuk menyelaputi keseluruh tubuhnya. Ia dikenali sebagai verniks dan
berfungsi untuk melindungi kulitnya daripada cecair amniotik yang
mengelilinginya. Jadi apabila bayi kita lahir kelak bayi kita tidak akan
kelihatan seperti tidak mandi selama sembilan bulan. Sesetengah ibu
akan berlaku kesan stretchmarks atau tanda calar pada bahagian perut.
Hampir 90% wanita akan mengalaminya.
Minggu ke-20.
Pertumbuhan bayi dalam kandungan puan saat ini adalah agak perlahan
kerana memberi peluang kepada paru-paru dan sistem penghadaman serta
imunnya untuk matang. Saiz bayi ketika ini ialah kira-kira 25 cm panjang
dan mempunyai berat dalam lingkungan 340 g.
Pigmentasi
pada kulit kita mungkin berlaku dengan lebih ketara tetapi ianya akan
hilang selepas bersalin nanti. Payu dara kita juga saat ini sedang
menghasilkan kolostrum iaitu sejenis bahan cecair keruh (warnanya) yang
berfungsi untuk membekalkan semua bahan yang diperlukan oleh bayi kita
pada hari pertama selepas lahir. Jangan cuba memicit cecair itu. Selain
itu puan juga akan sering mengalami masalah gusi berdarah dan
peningkatan keluaran cecair dari faraj. Sendi dan ligamen-ligamen badan
juga akan menjadi kendur. Kita akan lebih kerap merasa sakit pada
bahagian belakang badan serta ketegangan dibahagian lain.
Pada minggu ke-21,
kita akan mengalami banyak perubahan sementara bayi dalam kandungan
pula membesar dengan perlahan. Jadi penjagaan kesihatan agar senantiasa
sihat dan bertenaga amat penting. Kita perlu elakkan daripada melakukan
kerja-kerja berat yang boleh membebankan bahagian belakang. Malah kita
perlu mengelakkan dari memakai kasut bertumit tinggi.
Seterusnya minggu ke-22.
Struktur gigi bayi kita mula berkembang. Pergerakan bayi kita juga
menjadi semakin aktif. Puan sebaiknya-baiknya memberikan tindakbalas
dengan setiap gerakan, tendangan atau bunyi dalam uterus tersebut. Pada
masa ini puan sudah boleh perdengarkannya dengan alunan zikir dan
ayat-ayat suci Al-Quran untuk memberikan pendedahan dan didikan awal
sejak dalam kandungan lagi. Dekatkan perakam atau pemain cakera padat
dekat dengan perut puan. InsyaAllah bayi kita yang bakal lahir akan
menjadi anak-anak yang pintar lagi soleh. Belailah gerakan bayi anda
dengan penuh kasih sayang.
Kini kita di minggu ke-23.
Pada masa ini tangan dan kaki bayi telah terbentuk dengan baik.
Jari-jemarinya juga terbentuk dengan baik. Perubahan yang berlaku pada
puan untuk minggu ini amat baik. Antaranya ialah rambut, tekstur kulit,
kuku da warna kulit. Rambut kita akan menjadi lebat dan berkilauan.
Kulit pula akan menjadi bertambah gebu, licin dan lembut.
Pada minggu ke-24
pula, puan akan merasa gembira, sihat dan berpuas hati dengan
perjalanan kehamilan puan. Kita akan dapati berat badan kita bertambah
secara normal. Perlu kita ketahui bahawa pada minggu ini kedudukan
kepala bayi lazimnya berada pada bahagian bawah. Manakala kulit bayi
akan menjadi semakin menebal. Namun jangan terkejut sekiranya puan
dapati muka menjadi sembap dan membengkak pada ketika ini. Ini kerana
tubuh sudah mula menyimpan air yang berlebihan.
Fenomena yang sering berlaku pada minggu ke-25 dan minggu ke-26
ialah badan kita akan senantiasa berpeluh dan berasa panas. Bagi
menghilangkan rasa panas tersebut, minumlah banyak air. Untuk
mengelakkan dehidrasi semasa bekerja terutama ketika berada dalam
penghawa dingin (aircond), basahkan tuala kecil dan lapkan pada bahagian
muka, leher, dada, peha dan perut. Pakailah pakaian yang longgar untuk
keselesaan. Pada minggu ini saiz bayi kita sudah mencapai 33 cm.
Sekarang minggu ke-27,
bayi kita sudah mulai pandai menghisap ibu jari dan menelan air panas
(cecair amnion) yang mengelilinginya. Air yang ditelan itu akan keluar
daripada badannya sebagai air kencing. Tunas rasa bayi pada masa ini
baru terbentuk. Ia sudah bleh bertindakbalas kepada rasa manis, masam
dan pahit. Kelenjar peluhnya juga sudah mulai terbentuk dan bayi sudah
boleh batuk dan tersedu. Sepanjang kehamilan ini kita amat digalakkan
memakai pakaian yang diperbuat dari kain kapas yang boleh menyerap haba
dengan baik.
Kini masuk minggu ke-28,
bermakna kita hanya tinggal lagi 3 bulan sebelum saat kelahiran yang
ditunggu-tunggu tiba. Puan mungkin akan menjadi sedikit pelupa, kekok
dan agak janggal. sepanjang bulan-bulan terakhir ini, bayi kita juga
telah mula menyimpan bekalan lemak dalam badan. Selain itu puan juga
mungkin akan mengalami sakit ulu hati, senak dan kadang-kadang kejang
pada bahagian betis. Jangan terkejut jika kita akan berhadapan dengan
kontraksi. Ia bukan kontraksi untuk melahirkan tetapi ia sebalik adalah
kontaksi kecil yang dipanggil iBraxton Hiksi. Sepanjang kehamilan kita
cuba elakkan daripada berfikir perkara-perkara buruk atau negetif.
Banyakkan membaca majalah-majalah atau menonton rancangan tv yang
berfaedah untuk minda dan perkembangan kehamilan kita.
Minggu ke-29. Postur kita akan
kelihatan lebih besar pada bahagian hadapan. Pada masa ini kulit bayi
dalam kandungan semakin merah. Namun ia kelihatan agak berkedut sedikit
dan lelemak sudah mula terkumpul pada bahagian bawah kulit. Kelopak
matanya juga telah terbuka dan sistem pendengaran telah terbentuk dengan
sempurna.
Seterusnya minggu ke-30.
Puan perlu banyak berehat. Jika puan tidak bekerja, pastikan puan
mendapat rehat yang cukup pada hari siang. Pada waktu malamnya pula,
pastikan puan tidur awal dan dapat tidur dengan selesa. Tips tidur -
angkat sedikit kaki dan letakkan beberapa biji bantal di bawahnya. Jadi
minggu-minggu terakhir ini kita secara rumusannya perlukan rehat yang
cukup dan selesa.
Memasuki minggu ke-31.
Bagi sesetengah wanita hamil akan mendapati tanda kesan regangan merah
pada perutnya. Manakala pada payu daranya pula akan kelihatan salur
darah yang agak jelas timbul. Ketika ini kedudukan kepala bayi masih
berada di bawah. Panjang badannya kini boleh mencecah 37 cm dengan berat
900 g.
Minggu ke-32
pula, bayi kita telah mengalami pertambahan berat badan. Ia mencapai
1.6 kg. Secara normal kedudukan kepala bayi masih berada di bawah.
Menyentuh soal hubungan suami isteri pula, sesetengah wanita hamil akan
berasa bimbang apabila melakukan persetubuhan kerana takut ia
mencederakan bayi yang dikandung. Sebenarnya, puan-puan tidak perlu
risau untuk melakukan hubungan seks ketika ini kerana ia tidak akan
mencederakan bayi.
Minggu ke-33,
bayi kita telah memiliki rupa parasnya yang tersendiri. Rupa inilah
nanti yang bakal puan lihat apabila dia lahir kelak. Malah, bayi kita
juga sudah boleh membezakan antara terang dengan gelap. Sebagai ibu,
inilah masanya puan perlu mendapatkan seberapa bayak rehat yang boleh.
Cubalah berbaring sebentar pada waktu tengahari kerana puan mungkin
penat ekoran membawa perut yang membesar.
Minggu ke-34,
kedudukan bayi pada ketika ini telah betul-betul berada pada pintu
rahim. Panjang bayi kira-kira 40.5 cm. Sekarang bayi puan telah
terbentuk dengan sempurna dan badannya juga sudah seimbang. Masa ini
lemak semakin terkumpul dengan pesatnya di bawah kulit bayi. Jadi bayi
kelihatan agak tembam.
Minggu ke-35
pula, akan berlaku perubahan pada diri puan. Puan akan merasai
kesukaran untuk bernafas, membuang air kecil dengan lebih kerap dan
seringkali tidak dapat mengawal air kencing apabila terbatuk, bersin,
atau tertawa dengan kuat. Manakala garisan gelap yang mengarah ke bawah
perut sudah menjadi lebih ketara dan menonjol. Puan perlu melakukan
beberapa senaman termasuklah senaman pelvik untuk menguatkan rahim.
Bagi mereka yang bekerja, minggu ke-36
pula sewajarnya sudah mengambil cuti dan berehat di rumah. Puan perlu
mengelakkan keletihan dan kelesuan. Senantiasa angkat kaki dan letakkan
di atas bantal ataupun objek tinggi untuk mengelakkan urat timbul atau
"varicose vein" dan bengkak kaki. Bayi pada masa ini sudah membesar dan
saiznya memenuhi ruang uterus puan pada ketika ini. Puan akan berasa
perut puan begitu penuh, sarat dan sukar untuk membuat sebarang
pergerakan.
Bila sudah tiba minggu ke-37,
kepala bayi mungkin sudah turun ke ruang pelvik. Bonjolan ketara pada
perut akan semakin membesar. Bentuk bayi dalam kandungan juga semakin
membulat dan kulitnya bertukar menjadi merah jambu. Rambutnya tumbuh
dengan lebat dan bertambah sebanyak 5 cm. Kuku lembut telah terbentuk
pada hujung jari tangan dan kaki.
Pada minggu ke-38,
puan tentu akan dapat merasa keadaan pundi kencing yang sedikit
tertekan dan ini akan menyebabkan kita kerap mahu membuang air kencing.
Puan seterusnya akan memasuki minggu ke-39,
saat hampir bersalin minggu kedua terakhir sebelum bersalin. Perut kita
sudah begitu besar dan berat. Buat masa ini kita perlu fokuskan fikiran
kepada perkara-perkara positif dan bayangkan pemandangan indah. Kita
perlu pastikan segala persediaan untuk melahirkan telah siap dikemas dan
diletakkan di tempat yang muda diambil.
Minggu ke-40
adalah minggu terakhir dan memasuki minggu ini adlaah saat yang
ditunggu-tunggu. Puan akan merasa tidak selesa dan tegang pada bahagian
abdomen dan akan merasa sedikit gatal. Puan juga akan muali rasa kebas
pada bahagian kaki. Bayi kita dalam kandungan kini telah bersedia untuk
dilahirkan. Panjangnya sudah 51 cm dan beratnya telah menjangkau 3.4 kg.
Jadi impian puan dan suami kini akan menjadi kenyataan dalam sedikit
masa sahaja lagi.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧