Belajar Selami Fikiran Anak

Saturday, February 09, 2013

pix
Bergelar ibu bapa sekaligus memberikan kita satu jawatan sebagai pendidik. Jadi, marilah kupas erti sebenar mendidik zuriat.

Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan setiap anak mengikut acuan masing-masing. Mendidik anak perlu dengan pengetahuan keibu bapaan. Amalan meniru cara didikan keluarga yang dianggap cemerlang tidak semestinya sesuai dengan keluarga sendiri.

Didikan paksaan dan arahan bukanlah bukti kejayaan membentuk peribadi insan yang mulia. Setiap anak berhak menikmati zaman kanak-kanak mereka secara semulajadi mengikut fitrah yang sepatutnya. Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu."

Nyata dan jelas sekali bahawa di usia kanak-kanak mereka tidak sewajarnya dipaksa melakukan perkara-perkara yang membebankan mereka. Memaksa mereka belajar sepanjang masa bukan akan membuatkan mereka bertambah bijak tetapi ditakuti boleh mengganggu tumbesaran normal mereka kerana terlalu tertekan.Sewajarnya biarlah anak-anak melalui zaman kanak-kanak mereka dengan belajar sambil bermain, menerokai dunia mereka dan melakukan apa yang mereka suka asalkan tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain selain memberi faedah kepadanya bahkan ia tidak melanggar ajaran Islam.

Namun demikian persaingan yang semakin sengit pada masa kini membuatkan segelintir ibu bapa tidak mahu memahami aspek didikan anak-anak menjadikan anak sendiri keliru mengenai kehadirannya dalam sebuah keluarga. Ibu bapa yang gemar mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.

Seharusnya ibu bapa mempunyai ciri membimbing dan memberi tunjuk ajar pada anak-anak dan hanya menghukum apabila mereka berbuat silap tetapi memberi kebebasan apabila perlu. Biarpun ada sesetengah pendapat mengatakan anak-anak perlu selalu dimarahi kerana jika tidak mereka tidak belajar. Sebenarnya, memang mereka boleh dimarahi tetapi marah perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin membetulkan kesilapannya. Biarpun ada anak yang kelihatan selamba dan bersahaja apabila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam pada ibu bapa hingga dewasa.

Kesan buruk
Didikan yang kurang sempurna sudah pasti membawa kesan buruk kepada anak-anak membabitkan keyakinan diri yang rendah hingga dia akan ketinggalan dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin. Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering diberikan sokongan moral.

Hakikatnya, hukuman fizikal yang hanya menyakitkan tetapi kurang berkesan perlu dikurangkan dalam mendidik anak-anak. Andai mereka melakukan kesilapan dan perlu didenda, jelaskan kesilapan yang mereka lakukan dan kenapa mereka didenda. Sememangnya tujuan hukuman diberikan adalah untuk pengajaran tetapi setiap hukuman yang dijatuhkan ke atas anak-anak perlu diberi perhatian iaitu jangan marah mereka ketika kita berada dalam keadaan marah, jangan mengherdik mereka di hadapan orang lain atau kawan-kawannya kerana ia akan memalukan anak dan memberi kesan buruk, jangan juga marahkan mereka kerana dirinya tetapi marahkan kesalahan yang mereka lakukan. Beritahu anak yang anda tidak suka dan marah dengan kesalahan yang dia lakukan bukan dirinya.

Sedar atau tidak, kebanyakan ibu bapa berharapkan anak mereka sempurna dari segala aspek tanpa mengambil kira mereka juga bukan manusia yang sempurna apatah lagi anak itu dibentuk oleh didikan ibu bapa. Maka terimalah anak seadanya dan dalam masa yang sama didik mereka menjadi seorang insan yang mengikut kata kerana hormatkan ibu bapa dan bukan kerana takutkan ibu bapa.

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧