Penjagaan Bayi Baru Lahir
Bayi yang baru lahir amat sensitif terhadap persekitarannya. Sesetengah
bayi memerlukan penjagaan rapi selepas dilahirkan terutamanya bagi yang
dilahirkan pramatang. Bayi pramatang memerlukan penjagaan khusus untuk
memastikannya membesar seperti bayi normal. Kebiasaannya, ada beberapa
perkara yang anda perlu ketahui tentang penjagaan bayi baru lahir.
Ketika baru dilahirkan, sistem tubuh bayi anda masih belum berfungsi
dengan sempurna. Dia memerlukan tempoh beberapa minggu untuk
menyesuaikan diri dengan suasana baru setelah kira-kira 40 minggu berada
di dalam kandungan.
Jangan terkejut jika kaki dan tangan bayi anda berasa sejuk semasa anda
memegangnya. Hal ini berlaku kerana sistem peredaran darahnya belum
sempurna. Warna kulit bayi anda juga akan berubah dari masa ke semasa.
Ketahuilah bahawa kebanyakan kulit bayi baru lahir akan mengalami
kekeringan dan pengelupasan. Ini adalah proses semula jadi dan terjadi
kerana kandungan minyak yang dihasilkan oleh kulit bayi belum stabil.
Pada masa yang sama, bulu-bulu halus yang ada pada tubuh bayi anda akan
gugur sedikit demi sedikit. Anda juga akan dapat melihat tompok-tompok
merah seperti ruam pada hidung dan beberapa bahagian lain pada tubuh
yang lain. Jangan bimbang kerana kesemua ini akan hilang apabila bayi
anda semakin membesar.
Selain itu, pusat bayi baru lahir perlu dijaga rapi. Cuci tunggul pusat
bayi anda dengan air dan pastikannya selalu bersih dan kering. Tali
pusat tersebut akan tertanggal dengan sendirinya selepas lapan ke 12
hari kelahirannya. Adalah menjadi kebiasaan sekiranya tali pusat
tersebut berdarah atau berbau sedikit.
Lazimnya, bayi baru lahir akan turun berat badannya selepas tiga atau
empat hari dilahirkan. Walau bagaimanapun, bayi anda akan mendapat
kembali berat badan asalnya selepas dua minggu dilahirkan. Pastikan juga
bayi anda mendapat suntikan imunisasi seperti yang disyorkan doktor
pediatrik untuk mengelakkan penyakit berbahaya. Ketika ini juga, doktor
pediatrik anda akan merekodkan perkembangan fizikal dan mental bayi anda
seperti berat badan, tinggi dan pergerakan yang sepatutnya bayi anda
lakukan.
Kepada ibu bapa baru, setelah mengetahui perkara-perkara asas tentang
bayi baru lahir anda, janganlah takut untuk memegang atau membelainya.
Bayi amat suka disentuh dan dibelai. Namun, anda haruslah berhati-hati
agar tidak mencederakannya. Jangan panik jika bayi anda menangis.
Carilah punca mengapa dia menangis. Biasanya bayi menangis kerana dia
lapar, lampinnya basah, dia rasa mengantuk atau rasa tidak selesa.
Ketika bersama bayi, eloklah anda berbual-bual, senyum dan bermain-main
dengannya untuk merangsang deria anak dan membangkitkan rasa kasih
sayang antara anda berdua.
Tip Penjagaan Bayi Baru Lahir
- Mandikan bayi anda dengan air suam untuk mengelakkan bayi sejuk.
- Selepas mandi, lapkan tubuh bayi termasuk tali pusatnya hingga kering. Sapukan tali pusat bayi anda dengan ubat yang diberikan doktor.
- Jika anda memakaikan bayi anda dengan lampin pakai buang, hendaklah sentiasa menukar lampin pakai buang bayi tersebut. Jangan biarkan bayi anda memakai lampin yang basah terlalu lama bagi mengelakkan bayi mengalami kerengsaan dan terkena ruam lampin.
- Selepas itu, pakaikan bayi anda pakaian yang sesuai dan selesa.
- Setiap kali selepas menyusukan bayi anda, sendawakannya bagi mengelakkan dia kembung atau muntah.
Rabia ada belajar cara-cara menjaga,memandikan bayi baru lahir ni masa ambik sijil penjagaan kanak2 dulu
ReplyDelete