Proses melahirkan memang memenatkan. Oleh yang demikian, rehat yang cukup sangat diperlukan.
Diakui, pada hari-hari pertama selepas bersalin, anda kurang tenaga.
Walaupun melakukan kerja-kerja yang ringan, anda akan cepat penat.
Kehilangan banyak tenaga semasa proses kelahiran menyebabkan anda lesu
dan tidak bermaya. Untuk menggantikan tenaga yang hilang itu, anda
perlukan masa yang agak panjang. Jadi, bersabarlah.
Disebabkan oleh keadaan fizikal yang masih lemah, jangan sesekali anda
memaksa diri membuat pelbagai kerja rumah. Gunakan masa yang ada untuk
berehat dan mengembalikan tenaga yang hilang. Anda dinasihatkan agar
cukup tidur. Maknanya ketika bayi tidur, anda pun kena tidur dan bukan
membuat kerja-kerja rumah.
Sekiranya ada pembantu rumah, tentu hal urusan rumah tangga tidak akan
mendatangkan masalah. Semuanya ada orang yang bereskan. Tetapi, bagi
yang tidak ada pembantu, janganlah malu untuk meminta bantuan suami,
keluarga atau saudara-mara. Mereka tentu faham.
Setelah beberapa minggu bersalin, anda pasti sudah semakin sihat dan
bertenaga. Namun, ini bukanlah bererti anda boleh terus bekerja sesuka
hati. Anda masih tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Lakukan kerja
secara berperingkat-peringkat. Akan tetapi, jangan mengangkat
barang-barang yang berat atau yang memerlukan tenaga yang banyak dalam
tempoh enam minggu selepas bersalin. Ikut kata tubuh. Jika penat
berhenti dan jangan memaksa diri.
Kesihatan emosi
Kehadiran cahaya mata sememangnya menggembirakan. Lebih-lebih lagi
setelah bertahun-tahun menanti. Namun, di sebalik kegembiraan itu, wujud
pelbagai perasan. Antaranya rasa bimbang. Bimbang tidak mampu
melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya. Rasa tertekan
pula muncul setelah berhadapan dengan suasana baru yang pada tentunya
sedikit kelam-kabut dan mengundang macam-macam masalah. Akibatnya, diri
mulalah dibelenggu kemurungan. Semua ini ada kaitannya dengan mainan
emosi. Tahu kah anda bahawa semasa dalam pantang, emosi perlu dijaga.
Ketika inilah bantuan seluruh ahli keluarga diperlukan. Suami mesti
sentiasa berada di sisi membantu melaksanakan tanggung jawab baru
bersama-sama.
Makanan berkhasiat
Selain rehat yang cukup, aspek pemakanan perlu dijaga. Pengambilan
makanan yang kaya khasiat pada minggu-minggu awal selepas bersalin
penting untuk mengembalikan kecergasan diri dan menyembuhkan luka.
Selain makanan, ibu dalam pantang turut disarankan agar minum banyak air
bagi menggantikan cecair yang hilang dari tubuh dan membekalkan susu
yang mencukupi untuk bayi.
Info tambahan:
Secara umumnya, anda perlukan di antara empat hingga enam minggu untuk rasa segar semula.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧