Setiap kali melihat kanak-kanak kecil bertudung, tentunya anda rasa
sungguh kagum. Walaupun masih samar tentang kenapa perlu bertudung,
mereka tetap memenuhi tuntutan agama Islam yang satu ini. Mereka memang
hebat. Mudah-mudahan mereka bukan sekadar bertudung malah menutup aurat
mengikut kehendak agama yang dianuti.
Diakui ada segelintir ibu bapa tidak menggalakkan anak kecilnya
bertudung kerana ingin memberikan peluang padanya berpakaian seperti
‘minah salleh’ atau ‘minah Korea’. Katanya, biar anaknya puas
menggayakan pelbagai fesyen terkini. Nanti, bila tiba waktunya, barulah
bertudung.
Pada masa yang sama, ibu tersebut juga bimbang jika anaknya bertudung
terlalu awal, usia tudung lekat di kepala mereka tidak lama. Apabila
sudah menginjak remaja, mereka pasti akan membuang tudung dan mula
menyarungkan busana-busana yang menjadi trend remaja ketika itu kerana
semasa kecil tidak merasa.
Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-kata tersebut. Lagi pun, anak
kecil tidak wajib menutup aurat. Nanti apabila sudah bergelar anak dara
barulah ditutup apa yang dimestikan. Tapi, bukankah pepatah Melayu ada
menyebut, jika ingin melentur buluh, biarlah daripada rebungnya.
Sekiranya anak telah dibiasakan menutup aurat sejak kecil, tentu tidak
akan ada masalah untuk mereka meneruskannya setelah baligh nanti. Cuba
bayangkan jika anak yang sejak kecil sudah dibiasakan hanya memakai
singlet atau baju T tanpa lengan dan berseluar pendek atau berskirt mini
disuruh berbaju lengan panjang, berseluar panjang dan bertudung. Saya
pasti mereka akan merengek kepanasan. Jadi, saya berpendapat tidak salah
malah patut kita sebagai ibu bapa mendidik anak menutup auratnya sejak
kecil agar mereka dapat membiasakan diri dengan amalan wajib itu.
Ini tidaklah bermakna kita kena memaksa anak kecik bertudung sepanjang
masa. Kita sediakan tudung dan galakkan mereka memakainya tetapi jika
dia rasa tidak selesa memakainya dalam tempoh yang lama, biarkan mereka
membukanya. Pada masa yang sama, beritahu anak mengapa Islam menyuruh
hambanya menutup aurat. Hasilnya, anak akan lebih faham dan bukan hanya
mengikut sahaja tanpa sebab yang nyata. Jika cara ini kita amalkan,
insya-Allah, anak kecil kita akan kekal bertudung hingga ke hujung
nyawa.
Sebenarnya, penekanan tentang bab menutup aurat ini bukan hanya kepada
anak-anak perempuan tetapi juga anak-anak lelaki. Orang lelaki pun ada
batasan auratnya. Batasan aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut.
Ini bermaksud mereka mesti menutup keseluruhan kawasan tersebut setiap
masa kecuali pada waktu-waktu tertentu. Walaupun begitu, tidak salah
jika kita biasa-biasakan mereka berseluar panjang agar lebih sopan dan
sedap mata memandang.
Semoga usaha kita yang sedikit ini mampu membentuk generasi Islam masa
hadapan yang lebih mantap dan berada di landasan yang benar.
INFO
Dalil Al-Quran tentang kepentingan menutup aurat.
1. “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada
kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian
perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang
demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan
rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan
bersyukur)” Surah Al-A’raaf : Ayat 26)
2. “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri mu dan anak-anak perempuan mu
serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya
bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian
lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab : Ayat 59
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧