Jawapan:
Apabila membicarakan hukum keputihan, ulama fiqh akan merujuk kepada perbincangan bab ‘sufrah’ dan ‘kudrah’, bahkan ada juga yang menggunakan istilah ‘rutubat’ (lembapan) atau ‘ifrazat’ (rembesan atau cairan). ‘Sufrah’ dalam bahasa Arab adalah cecair berwarna kekuningan, manakala ‘kudrah’ cecair warna coklat kehitaman dan hampir kepada warna darah. Perlu diketahui perbahasan ‘sufrah’ dan ‘kudrah’ berlaku perselisihan pendapat yang banyak di kalangan fuqaha kerana tiada nas yang jelas berbanding hukum air mani, wadi dan mazi. Permasalahan ini saya ringkaskan kepada tiga pendapat yang utama:
1. Ia najis dan membatalkan wuduk. Ini berdasarkan kaedah “Segala sesuatu yang keluar dari dua jalan (saluran kencing dan dubur) adalah membatalkan wuduk. Hukumnya adalah sama seperti istihadhah iaitu perlu bersuci dan berwudhuk apabila ingin menunaikan solat dengan syarat telah masuk waktu solat. Sekiranya cairan tersebut banyak sehingga mengganggu urusan solat, maka sebarang cairan yang keluar selepas berwudhuk mahupun ketika solat adalah dimaafkan dan solat tersebut dikira sah. Namun sekiranya cairan tersebut keluar dalam keadaan terputus-putus dan kebiasaannya berhenti pada waktu-waktu tertentu, maka hendaklah melewatkan solat pada waktu cairan tersebut berhenti selagi tidak habis waktu solat. Jika dibimbangi akan habis waktu solat, maka tunaikanlah solat walaupun cairan tersebut berterusan keluar. (fatwa Ibnu ‘Uthaimin dan Ibn Baz)
2. Ia bersih dan membatalkan wuduk melainkan sekiranya ia berterusan keluar sehingga mengganggu solat, maka ia dimaafkan. Ini kerana tidak semua perkara yang membatalkan wuduk adalah najis seperti kentut. Maka perlu berwuduk setiap kali hendak menunaikan solat.
3. Bersih dan tidak membatalkan wuduk. Ini kerana cairan tersebut keluar daripada vagina (atau lubang kelahiran bayi), dan bukan saluran kencing. Ini berdasarkan hadis Ummu ‘Athiyyah RA: “Kami tidak menganggap kudrah dan sufrah apa-apa pun” HR Bukhari dan menurut riwayat Abu Daud: Kami tidak menganggap kudrah dan sufrah selepas suci (daripada haid) apa-apa pun”. (Mustafa al-‘Adawiy, Jamie’Ahkam al-Nisa) Bererti sebarang cairan yang keluar selain daripada qubul (saluran kencing) dan dubur, ia adalah bersih dan tidak wajib memperbaharui wuduk.
Pandangan ini menolak hujah yang menyatakan sebarang cecair yang keluar daripada kemaluan adalah najis. Bahkan asas sesuatu perkara itu adalah bersih melainkan adanya dalil yang menyatakan ianya najis, maka dalam hal ini tiada dalil qat’ie yang menunjukkan cecair tersebut adalah najis melainkan hadis Ummu ‘Athiyyah seperti yang dinyatakan. Saya secara peribadi lebih cenderung kepada pendapat ketiga kerana berdasarkan dalil hadis Ummu Athiyyah dan kajian perubatan yang membuktikan bahawa keputihan keluar dari vagina, bukan daripada saluran kencing atau saluran najis yang membatalkan wuduk.
Kesimpulannya, berlaku khilaf di kalangan fuqaha dalam menentukan hukum keputihan khususnya jika ia keluar dalam tempoh suci. Kita boleh memilih untuk mengikuti mana-mana pandangan bersandarkan hujah yang paling kuat dan rajih bukan mengikut hawa nafsu. Wallahu a’lam.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧