Kebahagiaan atau penderitaan tidak perlu mencari siapa yang bersalah,
atau yang menyebabkan hidup anda menderita. Anda harus mampu memaafkan
orang lain yang telah menyakiti hati anda. Mohonlah keampunan
kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang
diberikan rahmat oleh Allah. Jika anda disakiti bererti anda sedang
teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali
gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua pilihan
membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi
bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan
memberikan ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda
kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.
Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda memilih kebahagiaan,
kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika anda lebih suka
berdendam, jiwa anda tidak kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada
yang menusuk di dada. Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak
ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah: mendapat
keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta
melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya
Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22) Mendapat redha Allah SWT.
“...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat
baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah
(atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaikbaiknya).
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”.
(Asy-Syura [42] : 40)
Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf,
serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh (jahil atau tidak
mengetahui)
(Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)
Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]
“Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan
kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat
Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)
Lupakan segalanya
Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya
teruskan perjalanan hidup anda dengan melupakan segala yang berlaku dan
anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang
lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak
terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan
Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan
pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman
dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan
lebih dekat kepada- Nya. Sedarilah sesungguhnya, tiada yang
lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat
dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah
segalanya dalam sujud kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di
dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar
akan dipermudahkan.
Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda
masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar.
Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju
memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana
ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam
hati. Anda ingin Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf
pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.
Memaafkan bukan mudah selagi anda bernama manusia yang fitrahnya
berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu
mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat
berbanding mukmin yang lemah. Anda juga kita terlupa yang menggerakkan
sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia seperti saya, seperti dia,
seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi
tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya.
Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala
kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan
anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu
memaafkan.
Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi,
sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran
bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk
memaafkan sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas
daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu
ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, mengapa harus
kita mengeluh kesah? Percayalah, apabila memaafkan maka
perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila
mana tangan ditadah, lalu memaafk an setulus hati, dapat dirasakan hati
bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana
tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧