Sering kali mereka yang baru bergelar ibu bapa berasa bimbang apabila melihat keadaan mata bayi mereka diselaputi tahi mata dan berair. Adakah ia masalah normal atau si manja ada penyakit lain. Apa yang perlu dilakukan?
Mencari maklumat mengenai penjagaan bayi baru lahir dari kepala ke kaki mesti dilakukan oleh anda yang bakal bergelar ibu bapa. Ilmu tersebut sangat berguna membantu anda berhadapan dengan pelbagai masalah yang berlaku kelak.
Mata merupakan antara organ kurniaan Tuhan paling berharga. Justeru itu, antara pemeriksaan awal yang dilakukan oleh doktor pediatrik termasuk memeriksa keadaan mata bayi baru lahir.
Semasa proses pemeriksaan tersebut, doktor akan memeriksa mata bayi untuk mengesan sama ada mempunyai masalah berikut atau tidak:
· Penyakit kongenital
· Jangkitan mata
· Penglihatan
Pendarahan Sub-Konjuktiva
Perhatikan keadaan mata putih bayi dengan teliti. Biasanya kita akan melihat beberapa saluran darah yang halus. Sekiranya satu daripada saluran darah ini pecah, darah akan mengalir keluar ke bahagian mata putih . Situasi ini dinamakan Pendarahan Sub-Konjuktiva yang biasanya terjadi semasa kelahiran. Sekiranya keadaan ini berlaku :
Tiada rawatan diperlukan.
Ia tidak akan merosakkan mata.
Darah yang ada biasanya akan hilang dalam masa dua minggu.
Sementara itu dalam penjagaan harian mata bayi, anda hendaklah membersihkan kawasan sekeliling mata menggunakan kain lembap yang bersih. Tidak perlu menggunakan sabun kerana ia akan memedihkan mata.
Selain daripada pemeriksaan yang telah dilakukan oleh doktor sebaik bayi lahir, ibu bapa juga perlu memerhatikan keadaan mata anak mereka. Jika ada masalah yang berlaku maka mudah untuk melakukan rawatan selanjutnya.
Masalah berkaitan mata yang biasa terjadi di kalangan bayi adalah :
Konjuktivitis
Saluran air mata tersumbat. Konjuktivitis bermaksud kemerahan yang berlaku pada lapisan konjuktiva iaitu bahagian putih mata dan bahagian dalam kelopak mata. Ini mungkin berlaku disebabkan oleh jangkitan, saluran air mata tersumbat atau kerengsaan, Misalnya terkena bahan kimia.
Bagi bayi, jangkitan kuman biasanya disebabkan oleh bakteria seperti Neisseria gonnorhea (gonorrheal infection) atau oleh Chlamydia trachomatis. Kedua-dua didapati semasa proses kelahiran daripada ibu yang mendapat jangkitan.
Antara simptom-simptom dan tanda-tanda jangkitan ini termasuk:
· Keluar cecair kekuningan dari mata.
· Kelopak mata melekat dengan nanah terutamanya selepas tidur.
· Keluar tahi mata di bahagian atas pipi.
· Bahagian putih mata mungkin bertukar kemerahan atau merah jambu.
· Kelopak mata membengkak.
Masalah konjuktivitis ini boleh menjadi lebih parah sekiranya berlaku jangkitan pada gonorrhea dan berkemungkinan memberi kesan kepada penglihatan bayi. Oleh itu segera bawa bayi mendapatkan rawatan perubatan jika ada tanda-tanda berikut.
Rawatan untuk Konjuktivitis Gonococcol
Sekiranya tahi mata atau lain-lain tanda muncul dalam beberapa jam atau hari selepas kelahiran, bayi anda akan dianggap mendapat jangkitan gonorrheal sehingga keputusan ujian didapati. Rawatan yang diberikan adalah:
· Membersihkan mata setiap jam dengan titisan mata dan titisan anti biotik mata sehingga tahi mata berkurangan dan mata kurang kemerahan.
· Diberikan suntikan anti biotik melalui saluran vena.
· Ibu bapa juga akan disiasat dan dirawat sebagai pesakit gonorrhea.
Rawatan untuk Konjuktivitis Chlamydia
Jenis Konjuktivitis ini biasanya bermula 5-12 hari selepas kelahiran.
Rawatan yang diberikan biasanya adalah :
· Oral anti biotik selama 14 hingga 21 hari untuk bayi dan ibu bapa.
· Anti biotik titisan mata dan membersihkan mata.
Sekiranya tahi mata bayi masih keluar dengan banyak dan tidak berkurangan dalam beberapa hari kelahiran, segera bawa bayi anda berjumpa doktor.
Gunakanlah kain bersih atau tuala yang berasingan untuk bayi kerana ia boleh berjangkit.
Jangan gunakan titisan mata kecuali dengan arahan doktor.
Saluran air mata (Nasolacrimal) terhalang
Saluran yang berfungsi menyalurkan air mata dari mata ke hidung tersumbat/tersekat. Bayi yang baru lahir mempunyai kebolehan untuk merembeskan air mata kerana hormon.
Mereka bukan mengeluarkan air mata kerana faktor emosi sehinggalah berumur antara dua hingga tiga tahun. Ini menerangkan mengapa tercetusnya simptom pada umur yang agak lewat sungguhpun ia bermula dari lahir.
Perkara ini berlaku kepada dua hingga enam peratus kelahiran baru. Kedua-dua belah mungkin tersumbat. Kebanyakan saluran air mata yang tersumbat ini akan terbuka secara spontan apabila berumur satu tahun.
Air mata juga boleh menjadi tanda kepada gloucoma Kongenital (sejak lahir) dan ini mungkin berkaitan dengan sensitif kepada cahaya dan pembesaran kepada mata yang dijangkiti.
Tanda-tanda dan simptom
· Air mata keluar berterusan yang mana biasanya dalam beberapa minggu selepas lahir.
· Keluar air mata di bahagian lebih bawah kelopak mata dan pipi.
· Bahagian putih mata pada permulaannya tidak kelihatan kemerahan atau merah jambu sehingga jangkitan bermula.
· Terdapat risiko jangkitan mata (Konjuktivitis) kerana kelemahan sistem saliran.
· Jika jangkitan tidak dirawat, ia akan merebak sehingga ke sekeliling bahagian mata atau pipi.
Rawatan diperlukan segera jika:
· Kelopak mata menjadi sangat merah atau membengkak.
· Muncul benjol kemerahan di bahagian bawah sudut kelopak mata.
Sekiranya terdapat tanda dan simptom conjunctivitis (konjutiva), seperti keluar cecair kekuningan, segerlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Jika air mata berterusan keluar selepas berumur setahun, bayi mudah terganggu dengan cahaya atau keadaan sebelah mata lebih besar, dapatkan rawatan daripada pakar mata.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧