Setiap anak-anak dilahirkan dengan memiliki keistimewaan tersendiri. Ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan anak menjadi insan cemerlang atau sebaliknya. Anak-anak adalah aset paling berharga yang bakal mendoakan kebahagiaan ibu bapa sama ada masih hidup di dunia atau setelah meninggalkan dunia ini. Bahkan merekalah permata hati yang menyerikan kehidupan rumah tangga ibu bapa.
Memiliki anak-anak yang soleh umpama satu ganjaran yang bakal diterima oleh ibu bapa bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat jua. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak seperti mana yang dituntut oleh agama bukan mengikut kehendak sesuka hati. Menerapkan nilai-nilai dan didikan positif pada anak-anak perlu dimulakan sejak peringkat awal, iaitu sejak proses pertumbuhan janin.
Mulakan dengan amalan pemakanan yang halal, bersih dan berzat kerana ia mempengaruhi perkembangan dan tumbesaran anak-anak sama ada dari aspek fizikal dan akhlaknya. Banyakkan berdoa agar janin yang dikandung terbentuk menjadi bayi yang sihat dan cemerlang. Selain dari itu hubungan ibu bapa juga menjadi faktor penentu pembentukan sahsiah diri anak-anak. Ibu bapa ada role-model terbaik bagi anak-anak. Justeru itu, ibu bapa perlu menjaga kerukunan rumah tangga serta hubungan dengan ahli keluarga kedua belah keluarga.
Membentuk anak-anak cemerlang perlu dimulakan mengikut pelbagai tahap. Setiap tahap memerlukan pendekatan dan strategi yang berbeza-beza daripada ibu bapa. Pada tahap pertama (bayi hingga usia tujuh tahun), ibu bapa harus menyayangi, bergurau senda dan mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak. Pada tahap kedua (lapan hingga 14 tahun), ibu bapa perlu didik dengan penerapan nilai disiplin dan pemahaman tentang pengagihan tanggungjawab sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Kemudian pada tahap ketiga (usia 15 hingga 21 tahun) elakkan daripada menggunakan kekerasan atau herdikan yang melampau. Ini kerana jiwa mereka mudah memberontak.
Manakala bagi usia 21 tahun ke atas, ibu bapa perlu memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk membuat keputusan sendiri. Namun, ibu bapa masih perlu memantau, menasihati dan berdoa agar anak-anak sentiasa mengikut landasan yang betul
Tip anak cemerlang
- Didik mengikut tahap intelektual dan usia anak-anak.
- Kenal pasti kecenderungan dan minat anak-anak.
- Jana keyakinan dan ketabahan diri mereka.
- Rangsang kecerdasan minda anak-anak dengan pemakanan seimbang.
- Isi waktu lapang anak-anak dengan aktiviti berfaedah.
- Beri anak-anak ruang berdialog bersama anda dalam situasi tenang dan ceria.
- Ambil berat kebajikan anak dan tunaikan hak-hak mereka mengikut tahap kemampuan ibu bapa.
- Beri galakan dan amaran ke arah sesuatu yangpositif. Jika anak lakukan kesalahan, beri hukuman yang wajar dan tidak keterlaluan.
- Bermain dan bergurau dengan anak sambil memberi nasihat.
- Mengasuh anak melalui teguran dan nasihat.
- Didik anak berdasarkan pengalaman yang anda pernah lalui (positif atau negatif) atau pernah berlakuk di sekeliling anda.
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧