Panduan Cairkan Susu Perahan

Wednesday, April 03, 2013


Mungkin ada di kalangan ibu-ibu berkerjaya yang menyusukan bayi menghadapi dilema bagaimana cara terbaik untuk menyimpan dan mencairkan susu beku ketika mereka bekerja.
Tidak kira sama ada anda meletakkan bayi di bawah penjagaan pengasuh atau nurseri, pastikan mereka sudah maklum tentang cara pengendalian susu perahan beku sebelum diberikan kepada bayi.

Berikut adalah garis panduan yang boleh dijadikan maklumat berguna kepada para ibu agar bayi tetap menerima khasiat susu ibu biarpun tidak menyusu secara terus dari payu dara ibu.

1.      Sentiasa menggunakan susu yang paling awal diperah.
2.      Letakkan susu beku yang hendak digunakan di bahagian rak bawah peti sejuk semalaman supaya mudah dicairkan.
3.      Lalukan susu perahan beku di bawah aliran air paip untuk mencairkannya.
4.      Bila sudah cair, rendamkan bekas berisi susu di dalam air suam (hanya panaskan kuantiti yang hendak digunakan untuk satu penyusuan sahaja).
5.      Untuk lebih mudah dan menjimatkan masa, gunakan pemanas botol elektrik yang kini banyak dijual dipasaran.
6.      Jangan panaskan dalam ketuhar gelombang mikro atau atas dapur kerana ia akan merosakkan khasiat susu ibu.
7.      Jangan carikan susu beku dalam suhu bilik.
8.      Susu yang telah dipanaskan mestilah digunakan dalam masa satu jam (tidak boleh disimpan semula).
9.      Susu yang dibekukan akan menampakkan lemak terpisah menjadi dua lapisan. Goyangkan bekas dengan perlahan-lahan untuk menggabungkan lapisan lemak yang terpisah itu.
10.  Pastikan suhu susu suam dengan menitiskan beberapa titis susu di bahagian dalam pergelangan tangan sebelum diberi kepada bayi.
11.  Elakkan memanaskan susu di awal pagi dan memasukkan ke dalam termos kerana susu yang dipanaskan perlu dihabiskan dalam masa 1-2 jam sahaja.
12.  Susu yang sudah dicairkan tidak boleh dibekukan semula, jadi ibu kene pandai mengagak kuantiti yang diperlukan anak supaya susu perahan tidak membazir.
13.  Seelok-eloknya panaskan susu sejurus sebelum memberi bayi minum.

Tip Penyimpanan Susu Perahan

a.      Di tempat kerja
Simpan susu perahan di bahagian sejuk peti ais, jangan dibekukkan (jika ada peti sejuk). Jika tiada, simpan sahaja dalam beg penyejuk susu ibu yang banyak terdapat di pasaran. Ia untuk memastikan kandungan antibodi terpelihara dari proses pembekuan.

b.      Sampai di rumah
Simpan susu perahan dari tempat kerja semaksima yang boleh di bahagian sejuk (bukan dibekukan) untuk kegunaan pada keesokan hari. Simpan susu selebihnya di bahagian beku peti ais untuk stok seterusnya.

c.       Seeloknya labelkan bekas perahan susu dengan nama bayi, tarikh dan masa pemerahan sebagai memudahkan anda menggunakan susu yang awal terlebih dahulu.

d.      Tinggalkan sedikit ruang udara di dalam bekas penyimpanan untuk membolehkan proses pengembangan berlaku jika susu dibekukan.

e.      Jangan lupa membersihkan dan mensteril semua bekas penyimpanan susu ibu termasuk aksesori pengepam.

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧