Mengapa kita kurang membaca?
Itu
adalah antara persoalan yang sering ditimbulkan ketika melihat senario
di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca.
Adalah penting bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang sukakan
membaca dan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya agar tidak
ketinggalan dalam perlumbaan teknologi yang semakin sengit.
Pembangunan Negara
Pembangunan
sesebuah negara adalah bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan,
berfikiran positif, rajin dan berdaya saing. Ilmu pengetahuan dapat
diperoleh melalui amalan membaca. Amalan membaca pula perlu
diperlengkapkan dengan kemahiran memilih bahan bacaan yang berkualiti.
Institusi keluarga berperanan untuk melahirkan individu yang bukan
sahaja gemar membaca tetapi menjadikan membaca sebagai budaya.
Usaha
membudayakan aktiviti membaca di kalangan generasi muda merupakan titik
tolak dalam membentuk masyarakat berpengetahuan yang dapat menyumbang
kemahiran dan kepakaran kepada pembangunan sesebuah negara.
Melestarikan Budaya Membaca
Institusi
keluarga pada asasnya sama-sama bertanggungjawab untuk membentuk,
menyemai, dan memupuk minat membaca di kalangan ahli keluarga dan
seterusnya melestarikan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Peranan ini perlu bagi memenuhi perkembangan mental kanak-kanak dalam
usaha bagi memenuhi keperluan, cita rasa, aspirasi, karenah dan sikap
ingin tahu yang hanya dapat dipenuhi melalui membaca.
Peranan Perpustakaan Negara Malaysia
Tidak
keterlaluan dikatakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat
Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih
mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah
menyaksikan bahawa penambahan mendadak jumlah pengunjung ke kedai-kedai
buku dan pesta buku antarabangsa. Penganjuran pesta itu dikatakan telah
mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung.
Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM) menggariskan empat strategi untuk mencapai
matlamat minat membaca di kalangan orang ramai. Di antaranya:
Pertama,
PNM akan bekerjasama dengan jentera kerajaan di peringkat negeri dan
daerah. Manakala kerjasama dengan sektor swasta bersifat bantuan
kewangan seperti penajaan, pembiayaan dan sumbangan dalam aktiviti yang
diadakan.
Kedua, PNM akan membina lebih banyak perpustakaan desa,
memperbanyakkan sudut bacaan di tempat tumpuan umum. Misalnya di
kompleks membeli belah dan perhentian bas supaya orang ramai boleh
mengisi masa terluang dengan membaca buku yang disediakan.
Ketiga, bagi memenuhi keperluan golongan kanak-kanak dan remaja
yang lebih cenderung dengan perkhidmatan atas talian, PNM akan
memantapkan aplikasi ICT dalam perkhidmatannya. Pendekatan konsep siber
ini diharap dapat menarik minat golongan itu untuk mendampingi
perpustakaan dan seterusnya menyuburkan budaya membaca dalam kalangan
mereka.
Keempat, memanfaatkan pertubuhan sukarela yang sedia ada bagi
menggerakkan program mari membaca. Sehubungan itu program membaca
boleh dilaksanakan secara tersusun, sistematik dan berterusan.
Kesimpulan
Pada masa ini
kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan rakyat
negara ini. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi
melahirkan masyarakat membaca. Untuk membudayakan amalan membaca , semua
pihak termasuk kerajaan, swasta dan orang ramai perlu memainkan peranan
masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca
dalam kehidupan seharian.
Sumber Rujukan : Perpustakaan Negara Malaysia
Utusan Malaysia – 5/11/2009
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧