Redha VS Mengeluh !

Thursday, February 11, 2016


Assalamualaikum, 
Ada orang tidak dapat menerima penderitaan yang dihadapinya seperti kehilangan orang yang disayangi atau harta benda. Apakah keengganan menerima keadaan perkara yang berlaku bererti menyanggah kekuasaan Allah? Apakah pilihan kita... redha atau mengeluh ?
Jika seseorang menghadapi musibah, dia wajib menerima dengan redha dan sabar. Contohnya menghadapi kematian orang yang dikasihi, kemalangan dan sakit. Dengan meyakini hikmah sesuatu musibah antaranya ialah satu ujian yang boleh meningkatkan iman dan boleh menghapuskan dosa-dosanya.

Sabda Baginda SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud, "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya." (HR: Bukhari, Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a.)

PENCERAHAN :

Bagi menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya ialah:

1. Redha dan terus husnuzan (bersangka baik) dengan Allah. Tanda Allah SWT sayang kepada kita dan Allah mengetahui kita mampu menghadapi ujian itu.

2. Mengucap 'Innalillahi wa inna ilaihi raji'un' iaitu merujuk kembali apa pun musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT. Allah telah berfirman :

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (QS: Al-Baqarah, ayat 156)

3. Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan dan bukan menjadi kesalahan. Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa sebarang musibah. Mengeluh berpanjangan kerana dikhuatiri mendatangkan perasaan seolah-olah tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT.

4. Berusaha menyembunyikan musibah. Berasa gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang bakal diterima. Gembira dan redha secara syarie bukan secara tabie kerana tabiat manusia tentu tidak menyukai musibah. Jangan pula ketawa bila ada waris kita yang meninggal !

5. Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bersabarlah dan jangan mengeluh.

KESIMPULAN :

Kadangkala bukan sahaja kerana musibah sahaja kita kena redha dan tidak mengeluh, tetapi dalam buat kerja-kerja dakwah juga. Betullah kata sahabat...kalau buat kerja kerana Allah kita akan lebih redha dan tidak akan mengeluh bila kena kerja lebih dari orang lain, asyik-asyik kena relief ganti kelas orang lain atau bila hasil penat lelah kita diplagiat oleh orang lain... Allahu Akbar contoh aje !
Wallahu a'lam - semoga dapat manfaatkan ilmu ini..

Post a Comment

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧