Aina, Mila dan Fifi memulakan semester baru kuliah di salah sebuah kolej swasta di pekan yang terletak berdekatan dengan kampung mereka. Biasanya mereka diberi hostel yang disediakan oleh pihak kolej. Tetapi, untuk semester kali ini mereka perlu mencari rumah sewa memandangkan hostel yang mereka duduki itu sedang diperbaiki.
Pencarian mereka berakhir dengan mendapatkan sebuah rumah yang terletak agak terpencil dan berdekatan dengan sebuah ladang. Memandangkan kesemua mereka mempunyai kenderaan jadi takde masalah untuk mereka tinggal di situ. Lagi pula sewa pun berpatutan dan sesuai dengan bajet mereka yang masih belajar. Mereka mula berpindah masuk, semuanya berjalan lancar sehinggalah ada jiran yang datang menegur dan memberitahu bahawa belakang rumah mereka adalah kawasan perkuburan Cina. Mereka tergamam seketika mendengarnya, tapi mereka fikir dah takde masa untuk mencari rumah yang lain.
Malam menjelma, untuk hilangkan rasa sunyi kerana jarak antara jiran agak jauh, mereka memasang televisyen dengan kuat. Tapi masing-masing memegang telefon bimbit di tangan sambil memakai fon kepala. Sedang mereka semua asyik melihat telefon bimbit, tiba-tiba televisyen yang dipasang terpadam secara tiba-tiba. Mereka bertiga tersentak dan memandang antara satu sama lain. Rasa seram sejuk datang menjelma tapi mereka kuatkan semangat dan membaca ayat-ayat Al-Quran yang mereka tahu. Tiba-tiba kedengaran pula bunyi dari bilik air di bahagian belakang. Itu lebih membuatkan Aina, Mila dan Fifi ketakutan. Mereka bertiga lari ke dalam bilik. Masuk sahaja di dalam bilik, mereka duduk dekat-dekat dan saling berpelukan. Ketiganya cuba lelapkan diri walaupun dalam ketakutan. Sebelum tidur, mereka sempat mendengar salakan anjing sahut menyahut.
"Eh, korang berdua dengar tak bunyi anjing tue? Orang kata kalau bunyi macam nie, ada makhluk halus yang berdekatan," Mila tiba-tiba bersuara.
Apa yang diperkatakan Mila membuatkan mereka semakin takut. Semua surah yang mereka tahu dibaca bersama sehinggalah mereka berjaya lelapkan mata. Seminggu selepas itu, tiada lagi gangguann buat mereka. Tidur mereka tidak terganggu dan dapat tinggal dengan aman. Sehinggalah pada suatu malam Jumaat yang sangat dingin, hujan turun renyi seakan-akan tidak mahu berhenti dan ini menambahkan lagi suasana sunyi di kawasan kediaman mereka.
Seperti malam-malam biasa, televisyen dipasang untuk memeriahkan suasana yang sepi. Tiba-tiba kedengaran sesuatu dari arah dapur.
"Bunyi apa tue?" tanya Aina.
Tanpa menjawab, ketiga-tiga kawan ini jalan beriringan ke dapur. Sampai sahaja di dapur, alangkah terkejutnya mereka apabila melihat susuk tubuh yang memakai pakaian putih yang comot dan berambut panjang mengurai yang sedang berdiri di satu sudut. Ketiga-tiganya menjerit ketakutan dan lantas berlari masuk ke dalam bilik. Mereka mengunci pintu dengan harapan makhluk tersebut tak dapat masuk. Namun itu tidak seperti yang mereka harapkan. Masuk saja ke bilik, mereka dapati makhluk yang sama rupanya turut berada di dalam sambil mukanya mengadap dinding. Bagai tak cukup tanah mereka bertiga berlari meninggalkan rumah sewa itu dan meluru ke rumah jiran yang berdekatan.
Mereka ditenangkan oleh jiran mereka iaitu seorang makcik yang mula-mula datang menegur pada hari pertama mereka pindah. Ketiga-tiga kawan nie mula demam ekoran kejadian yang menakutkan itu. Mereka dapat tahu rupa-rupanya rumah tersebut pernah didiami oleh seorang wanita dan menurut cerita makcik tersebut, wanita berkenaan mati akibat bunuh diri. Selepas kejadian itu, Aina, Mila dan Fifi berpindah terus dan kali ini mereka mencari rumah sewa yang berdekatan dengan kolej. Mereka tak kisah walaupun bayaran sewa agak mahal asalkan perkara yang menakutkan tidak lagi menghantui kehidupan mereka.
*sumber cerita daripada Mingguan Wanita
Post a Comment
❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧