Ke mana menghilangnya Shikin Razali?

Thursday, June 16, 2022


Assalamualaikum wbt...
Tengok pada tajuk niepun mesti awak tertanya-tanya, ke mana hilangnya Shikin Razali..? Sebenarnya saya baru baik daripada mengalami sakit ulser kornea.. Saya mengalaminya pada 26hb Mei yang lalu dan hingga kini saya masih menerima rawatan susulan di hospital.. Mesti ada yang pelik kan, ada ke penyakit tue..? 

Sebenarnya ulser kornea nie adalah merupakan radang kornea yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Ulser kornea nie boleh dikatakan salah satu penyakit yang agak serius dan jika lambat mendapatkan rawatan, risiko buta boleh terjadi. Jangkitan kuman yang masuk di dalam kornea adalah melalui luka atau kecederaan pada permukaan kornea. Mengikut kajian kajiselidik mata kebangsaan yang dibuat pada tahun 1996, ulser kornea nie adalah satu penyakit keempat penyebab kebutaan di Malaysia.

GEJALA DAN TANDA ULSER KORNEA

Terdapat pelbagai tanda dan gejala untuk penyakit ulser kornea seperti sakit mata yang teruk, mata rasa berpasir, mata menjadi merah dan bengkak, mata menjadi sangat sensitif pada cahaya dan penglihatan menjadi kabur. Gejala inilah yang terjadi pada mata saya baru-baru nie.. Pada mulanya mata saya menjadi merah dan saya menyangka yang saya mengalami sakit mata, tapi bila kena apa-apa cahaya, kepala saya berdenyut sakit.. Biasanya kalau kita mengalami sakit mata, pasti akan mengeluarkan tahi mata di sekitar mata, tapi ulser kornea nie takde gejala tue.. Sebaliknya mata mengeluarkan sejenis cecair seakan air nanah yang berwarna pucat dan terus melekat seperti gam. 


FAKTOR PENYEBAB ULSER KORNEA

Antara faktor penyebab terjadinya ulser kornea adalah pemakaian dan penjagaan kanta sentuh yang tidak mengikut arahan dan pematuhan yang ditetapkan, jangkitan pelbagai bakteria seperti Pseudomonas Aeruginosa, protozoa Acanthamoeba dan kulat adalah berkaitan dengan penggunaan kanta lekap ini. Selain daripada penggunaan kanta lekap, kecederaan kornea lain seperti kemasukan bendasing seperti habuk, debu, mata yang terlalu kering dan kekurangan vitamin A juga boleh jadi faktor penyebab terjadinya ulser kornea.. 


KRONOLOGI ULSER KORNEA

26hb Mei - Bila bangun pagi, mata dah menjadi bengkak dan merah. Mulanya fikir ianya akan surut, tapi saya mula tak pakai kanta lekap. Pergi kerja macam biasa. Tapi bila sampai di pejabat, mata menjadi semakin bengkak, berair, rasa seolah-olah ada pasir dalam mata dan sangat sensitif pada cahaya hingga menjadi sakit kepala. Balik kerja terus ke klinik swasta dan doktor memberi ubat tahan sakit serta ubat titis mata.

27hb Mei - Bangun pagi, mata terasa macam nak terkeluar, jadi saya pergi ke klinik kesihatan. Doktor mengatakan yang saya hanya sakit mata biasa dan diberi ubat titis sekali lagi. Memandangkan hari itu adalah hari Jumaat, jadi doktor menyarankan jika mata tidak pulih, saya perlu datang hari Isnin untuk rawatan susulan. Balik rumah, terus saya duduk di dalam gelap gelita. Pintu dan tingkap semuanya ditutup rapat kerana berasa sangat sensitif pada cahaya.. Bila kena cahaya, automatik kepala menjadi sakit seolah-olah migrain. 

30hb Mei - Sekali lagi saya ke klinik kesihatan, doktor meminta saya dirujuk ke hospital Putrajaya memandangkan bengkak tidak surut. Sampai di hospital, saya terus diberi rawatan. Doktor mengesahkan saya mengalami ulser kornea dan terus mengambil sampel sedikit tisu pada kornea menggunakan kaedah swab konjuntiva. Sepatutnya saya perlu memberi bekas, cecair pencuci kanta serta kanta itu sendiri, tapi memandangkan saya dirujuk daripada klinik kesihatan, saya diminta untuk membawa barang yang dikehendaki pada hari esoknya untuk ujian makmal. Saya diberi tiga jenis ubat titis yang perlu dipakai 2 jam sekali. Ubat titis jenis pertama hanya boleh dipakai untuk tempoh dua jam pertama sahaja. Ubat titis yang kedua dan ketiga pula perlu dipakai dua jam beriktnya berselang-seli. 

31hb Mei - Hari kedua saya pergi ke hospital, saya menghantar semua barang yang dikehendaki untuk ujian makmal. Sekali lagi, mata saya diperiksa dan doktor meminta saya untuk meneruskan ubat yang telah diberikan.

1hb Jun - Hari ketiga. Saya mengalami rasa pedih pada mata setiap kali saya menggunakan ubat titis yang ketiga. Sebenarnya ubat titis yang diberikan tue adalah sejenis ubat antibiotik dengan bauan yang sangat menyusuk hidung. Saya maklumkan pada doktor tentang perkara itu, dan doktor memberikan ubat antibiotik yang baru kerana menurut doktor, saya mengalami alahan pada ubat titis tue dan menyebabkan mata saya kembali bengkak dan merah. Jadi saya diberikan sebotol ubat titis yang baru di mana saya perlu memakainya untuk setiap 1 jam sekali. Doktor juga memaklumkan bahawa kesan lepuh ulser mula nampak pada permukaan mata putih dan bukannya pada permukaan anak mata hitam. Doktor menyatakan perkara ini amat jarang berlaku kerana pada kebiasaan kesan lepuh ulser berlaku pada anak mata hitam dan bukannya permukaan mata putih. Doktor memberi tarikh temujanji pada hari Jumaat iaitu pada 3hb Jun dan hanya diberi cuti sakit untuk hari ini saja...

Kesan lepuh ulser kornea

2hb Jun - Saya kembali masuk pejabat tapi terpaksa mengambil cuti rehat kerana mata saya masih merah dan masih lagi terlalu sensitif pada cahaya. Saya meneruskan ubat titis yang diberikan oleh doktor. Apabila tengok dekat cermin, saya boleh nampak kesan lepuh ulser pada mata putih saya, sama keadaan seperti keadaan ulser mulut. 

3hb Jun - Hari kelima, saya pergi ke hospital. Doktor mengesahkan mata saya mengalami perubahan yang positif di mana kesan lepuh ulser berkurangan tapi perlu meneruskan ubat titis pada mata. Sekali lagi saya diberi cuti sakit dan saya perlu datang lagi ke hospital pada 7hb Jun untuk rawatan susulan. Kali ini doktor memberi arahan untuk pemakaian ubat titis kepada 4 jam sekali. Saya bagitahu dengan doktor yang saya berasa mata saya terasa pedih dan tidak selesa, terasa seperti kesat. Doktor memaklumkan bahawa saya mungkin mengalami mata yang kering dan menyarankan saya untuk membeli airmata palsu (lubricant eye drops) kerana di farmasi hospital tidak menyediakan produk ini. Nasib baik dekat farmasi berdekatan hospital ada jual produk airmata palsu ini.. Doktor menyarankan saya untuk menggunakan airmata palsu ini untuk setiap 2 jam sekali. 

Airmata palsu @ lubricant eye drops

7hb Jun - Hari keenam saya ke hospital. Doktor memaklumkan bahawa keputusan makmal yang dilakukan pada tisu kornea, serta barang-barang penggunaan kanta lekap adalah negatif. Jadi punca sebenar terjadinya ulser kornea adalah kerana mata saya terlalu kering akibat pemakaian kanta lekap dalam jangka masa yang lama.. Sepatutnya saya perlu memakai eye drops setiap 2 jam bagi melembapkan permukaan mata sekiranya saya memakai kanta lekap kerana tanpa kelembapan, kornea mata boleh mengalami kecederaan. Doktor menyarankan saya untuk meneruskan ubat titis yang diberikan, cuma dinaikkan kadar penggunaan kepada 6 jam sekali dan perlu ke hospital untuk pemeriksaan pada 10hb Jun. 

10hb Jun - Hari ketujuh saya pergi ke hospital. Alhamdulillah, doktor memaklumkan bahawa kesan lepuh pada mata putih saya telah kembali normal, walaupun mengalami sedikit kemerahan tapi tak seteruk minggu yang lalu. Doktor juga memaklumkan bahawa disebabkan saya mengalami ulser kornea, permukaan mata saya megalami parut yang amat kecil dan ianya akan menjadi parut yang kekal. Walaupun permukaan mata telah berparut, tapi ianya tidak menjejaskan penglihatan saya..  Walaupun begitu, saya perlu meneruskan ubat titis yang diberikan oleh doktor dan perlu kembali ke hospital untuk pemeriksaan pada 15hb Jun. 

15hb Jun - Hari kelapan saya ke hospital. Alhamdulillah, doktor menyatakan kesihatan mata saya hampir pulih sepenuhnya. Tapi saya dibekalkan ubat yang baru kerana saya memaklumkan pada doktor, setiap kali saya titis ubat yang diberikan sebelum ini, saya mengalami pedih mata. Doktor bagitahu mungkin ubat tue telah tamat tempoh dan akan dibekalkan ubat yang baru untuk tempoh dua minggu.. Cuma kali ini, doktor menaikkan lagi kadar penggunaan yang berbeza... Untuk minggu pertama, saya perlu menitiskan ubat mata pada kadar 3 kali sehari dan untuk tempoh minggu kedua, saya perlu menitiskan ubat mata pada kadar 2 kali sehari.. Sebenarnya ubat titis mata yang dibekalkan pada saya adalah merupakan ubat antibiotik. Saya perlu menggunakan ubat ini berterusan sehinggalah keadaan mata saya benar-benar pulih kerana menurut doktor, ubat antibiotik titis ini tidak boleh diberhentikan penggunaan secara mendadak, dikhuatiri ulser kornea akan kembali lagi pada permukaan mata. Untuk airmata palsu pula, saya disarankan untuk memakai dalam tempoh setengah jam sekali kerana doktor mendapati mata saya masih lagi berkeadaan kering. Ini kerana saya dah mula masuk kerja dan penggunaan komputer yang berterusan menjadi penyebab mata menjadi kering. Saya perlu kembali ke hospital untuk pemeriksaan pada 29hb Jun ini...

Jadi inilah kronologi yang dialami oleh saya baru-baru nie.. Awak doakan saya yea... 


#shikinrazalidotcom #Malaysianblogger #bloggerTerengganu #bloggerSepang #mypersonaljournal



14 comments

  1. semoga pulih mata awak seperti sedia kala...mmg kene take break dari pakai contact lense la jawabnya ye.

    skrg kalau kena cahaya masih sakit lagi ke tidak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buat sementara nie memang saya kena break kejap pakai lenses, tapi kena buat cermin mata la dulu.. hihi saya pakai lenses pun dah dekat 20 tahun, cermin mata memang takde yang standby... hihi Alhamdulillah, sekarang nie mata saya dah okay dah kalau kena cahaya sekalipun..

      Delete
  2. I wanna read much more but there is no translate...

    ReplyDelete
  3. Maybe you can read my story via google chrome because on the url tab, there is an icon of 'Translate This Page'...

    ReplyDelete
  4. Banyak benda baru akak belajar.
    Pertama tentang ulser mata.
    Kedua air mata palsu.
    Masa kena ini boleh memandu ke? Atau suami hantar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masa saya kena nie kak memang langsung takleh memandu, sebab terlalu sensitif pada cahaya.. Pakai cermin mata hitam pun masih lagi terasa sakit dek cahaya tue... Sebenarnya airmata palsu nie dah ada kat pasaran lama dah, orang kita duk panggil eye mo, itulah airmata palsu..

      Delete
    2. Masa saya kena nie dan setiap kali ke hospital, suami yang hantarkan disebabkan masih sensitif pada cahaya..

      Delete
    3. Baru tahu eyemo sejenis air mata palsu.
      Semoga sembuh 100%.
      Hehe nanti tunjuklah speak baru.

      Delete
  5. mendoakan semoga segera sembuh

    ReplyDelete
  6. allahuu kak, baru baca blog akak ni..semoga akak cepat sembuh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiin, terima kasih Nurin atas doa awak.. Alhamdulillah, mata akak dah kembali pulih tapi masih lagi kena titik ubat mata...

      Delete

❧ ✿ Terima kasih atas kesudian awak untuk tinggalkan nota di sini..✿ ❧